Henti pengambilan pekerja Bangladesh
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mengulangi pendirian pengambilan pekerja Bangladesh dihentikan bagi membendung gejala rasuah.
Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, pihaknya menyedari urusan pengambilan pekerja dari negara terbabit dicemari dengan gejala tidak bermoral itu dan berharap kemasukan pekerja dari Bangladesh dibatalkan ataupun diharamkan, apatah lagi banyak pekerja berkebolehan boleh diambil majikan yang memerlukan perkhidmatan pekerja asing.
"Dengan syarat, majikan wajib mengeluarkan modal sendiri untuk membayar perbelanjaan pekerja asing yang dibawa masuk ejen, sekali gus mereka akan berasa lebih bertanggungjawab kerana perlu menguruskan segala perbelanjaan," katanya.
Dalam laporan akhbar tempatan sebelum ini, PPMM meminta kerajaan menghentikan pengambilan pekerja Bangladesh bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan ejen, majikan, pegawai, penguat kuasa dan agensi kerajaan yang membawa masuk pekerja asing.
Melalui laporan tersebut, Che Hassan mendapati ejen merupakan dalang utama dalam merasuah penguat kuasa serta majikan bagi membawa masuk seberapa banyak pekerja asing haram, khususnya dari Bangladesh dan ejen terbabit turut mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 ke atas warga Bangladesh yang berminat mencari kerja di Malaysia.
Mengulas lanjut Che Hassan berkata, ejen Bangladesh dipercayai turut mengenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi setiap seorang pekerja Bangladesh kepada ejen tempatan ataupun majikan yang berminat mengambil pekerja dari negara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!