Penganjur Sukan Asia 2026 lulus cadangan 8 pingat emas sepak takraw

Abdul Halim (kanan) ketika mengunjungi Satoshi di Nagoya.
Abdul Halim (kanan) ketika mengunjungi Satoshi di Nagoya.
A
A
A

JAWATANKUASA Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya, 2026 (AINAGOC) di Jepun meluluskan cadangan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) yang mahu lapan pingat emas ditawarkan bagi acara sepak takraw pada temasya sukan tersebut.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, lapan pingat emas ditawarkan menerusi empat acara kategori lelaki, tiga kategori wanita dan kuadran campuran yang merupakan acara baharu di Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober.

“Satu sejarah apabila buat pertama kali ASTAF berjaya menyakinkan penganjur Sukan Asia untuk menerima cadangan mempertandingkan lapan pingat emas di temasya besar Asia kali ini.

“Biarpun begitu ASTAF akan menghadkan setiap negara dari menyertai semua lapan acara, ini bagi ini membolehkan lebih banyak negara dapat bawa pulang pingat terutama pingat emas.

“Lapan pingat emas yang ditawarkan ini sudah disahkan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC) dan hanya memerlukan sokongan Majlis Olimpik Asia (OCA) pada mesyuaratnya dalam tiga bulan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, ASTAF bertolak ansur dalam rundingan dengan AINAGOC yang menolak acara antara regu wanita dipertandingkan sebaliknya rela menerima kuadran campuran kerana menganggap peluang pingat tuan rumah dalam acara baharu tersebut lebih cerah.

“Jepun tuan rumah dibenarkan menyertai kesemua acara manakala negara lain cuma boleh memilih dua setiap kategori dengan pengecualian diberikan kepada kuadran campuran yang terbuka untuk semua,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke atas Setiausaha Agung AINAGOC, Murate Satoshi di Nagoya.

Abdul Halim sebelum itu bersama Timbalan Presiden dan Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Fariq Halim dan Taufiq Halim mengadakan lawatan kerja ke Nagoya dengan menemui Presiden Persekutuan Sepaktakraw Jepun (JSTAF) dan Satoshi selain melawat pusat latihan serta dewan pertandingan sepak takraw Sukan Asia.

Artikel Berkaitan:

Lapan pingat emas dalam acara yang akan berlangsung di Stadium Taman Sukan Mizuho, Nagoya merupakan satu rekod baharu dan terbesar dalam sejarah temasya empat tahun sekali ini sejak dipertandingkan dengan hanya dua acara, regu berpasukan dan antara regu lelaki pada edisi Beijing 1990.

INFO SUKAN ASIA AICHI-NAGOYA 2026

Lapan pingat emas merangkumi empat acara kategori lelaki (regu berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran/berempat), tiga kategori wanita (regu berpasukan, beregu dan kuadran) dan kuadran campuran.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!