Sindiket lombong bitcoin guna rumah mewah, hias seperti didiami

Muhamad Azmi menunjukkan komponen yang digunakan sindiket untuk mencuri elektrik.
Muhamad Azmi menunjukkan komponen yang digunakan sindiket untuk mencuri elektrik.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Taktik licik sindiket mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin dengan menggunakan rumah mewah dan menghiasinya seolah-olah ada keluarga yang tinggal di sebuah kediaman dua tingkat di Simpang Ampat di sini, terbongkar selepas diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis.

Rumah berkenaan turut dipasang meter elektrik seperti biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah ST Wilayah Utara, Muhamad Azmi Ishak berkata, hasil siasatan dan pemantauan yang dilakukan sejak jam 10 pagi mendapati sindiket melakukan sambungan elektrik secara haram dengan mencatatkan arus elektrik tanpa meter kira-kira 30 Amp.

Menurutnya, sindiket menjadikan bilik di tingkat atas sebagai lokasi melombong selain dilengkapi dinding kedap bunyi bagi mengelak bunyi bising mesin tersebut didengari orang luar.

Katanya, TNB terpaksa menanggung kerugian RM132,000 dan kegiatan tersebut dilakukan sejak enam bulan lalu.

"Tindakan sambungan elektrik secara haram bukan sahaja merugikan TNB malah turut mengundang 90 peratus risiko kebakaran susulan penyambungan itu tidak ikut spesifikasi.

"Selain risiko kebakaran, perbuatan sindiket turut akan menjejaskan pengguna lain susulan arus elektrik yang digunakan itu sepatutnya untuk kegunaan 20 buah rumah.

“Kita percaya sindiket telah menukarkan modus operandi mereka dengan memilih kediaman elit untuk melakukan kegiatan melombong bitcoin susulan premis serta rumah kedai sering diserbu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhamad Azmi berkata, setakat ini bagi Pulau Pinang ini merupakan kes pertama membabitkan melombong bitcoin di rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!