PDRM umum pertukaran jawatan 45 pegawai kanan
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat melibatkan 45 pegawai kanannya berkuat kuasa 25 Mac depan.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
"Jawatan Mohd Kamarudin itu bakal diambil alih Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pertukaran Kamarudin sebagai Pengarah JKDNKA adalah bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia Malaysia (MCBA) pada 31 Januari lalu.
Alzafny berkata, Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Hamzah Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan) Bukit Aman dengan memangku jawatan Komisioner Polis (CP).
“Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu dengan memangku pangkat CP bagi menggantikan Datuk Allaudeen Abdul Majid yang akan bersara pada 1 April ini," katanya.
Beliau berkata, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/ Perjawatan), Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin akan menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.
“Beliau menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman,” katanya.
Menurutnya, Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/ Perundangan/Tahanan), JSJN Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner (DCP).
“Ketua Cawangan Khas Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Hairuddin Che Hamid ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP," katanya.
Alzafny berkata, Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita Dan Kanak-Kanak JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner dengan memegang jawatan sama.
"Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan, Perak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner (ACP).
“Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman pula dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!