Safawi teruja kembali 'berguru' dengan Tommy
PEMAIN kelahiran Dungun yang kini menjadi tonggak baharu Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid mengakui begitu teruja untuk kembali berguru dengan bekas ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner.
Jelasnya, sehingga kini dia masih memegang erat pesanan jurulatih kelahiran Croatia yang lebih mesra digelar Tommy ketika menyarung jersi kelab T-Team, sembilan tahun lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu menyifatkan ia sebagai kata-kata azimat yang akan terus terpahat dalam hatinya.
"Pesanan beliau, 'dont loose the ball, keep position, keep hard' masih diingati sehingga kini.
"Ketika itu, saya masih muda dan kurang lagi pengalaman. Selain latihan berterusan dan bersungguh-sungguh, kata-kata Tommy itu menjadi pegangan dalam diri sebagai pemain bola sepak sehingga kini.
"Kini saya kembali semula mendapat tunjuk ajar daripada beliau, saya begitu teruja dan gembira. Saya harap dapat meningkatkan lagi prestasi terutama selepas mendapat bimbingan daripada barisan kejurulatihan JDT sebelum ini," ujarnya.
Safawi atau nama penuhnya Muhammad Safawi Rasid turut merakam penghargaan buat semua barisan jurulatih TFC, JDT dan skuad kebangsaan yang membimbingnya sebelum ini.
Pemain yang menyarungkan jersi nombor 11 bersama TFC itu bertekad untuk terus berusaha lebih gigih lagi dan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan musim ini.
Terdahulu, Safawi bersama rakan sepasukannya dalam skuad JDT, Akhyar Rashid menjawab teka-teki ramai setelah disahkan berpindah secara pinjaman dalam skuad Penyu bagi musim 2024/2025.
Skuad Penyu yang merupakan naib juara Piala Malaysia musim lalu dijangka akan mengumumkan seorang lagi pemain import baharu di posisi tengah bagi melengkapkan kuota enam tonggak import pada musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!