Rugi tinggal solat sunat rawatib

Terlalu banyak fadilat kepada mereka yang melaziminya seperti disebut dalam nas

Selain menutup kekurangan solat fardu, individu yang melazimkan sembahyang sunat dapat mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, darjatnya ditinggikan serta dihapuskan dosa-dosanya yang lalu. -Foto: 123rf
Selain menutup kekurangan solat fardu, individu yang melazimkan sembahyang sunat dapat mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, darjatnya ditinggikan serta dihapuskan dosa-dosanya yang lalu. -Foto: 123rf
A
A
A

USAI berdoa selepas azan berkumandang, sebilangan orang di dalam masjid mulai bangun untuk menunaikan solat sunat sebelum mendirikan sembahyang fardu secara berjemaah.

Dari satu sudut, terdapat segelintir jemaah lain pula hanya duduk sementara menunggu iqamat dilaungkan, sambil memerhatikan rakan mereka mendirikan solat sunat.

Situasi itu biasa kita lihat. Orang yang bangun untuk mengerjakan solat sunat itu sebenarnya sedang mendirikan solat sunat rawatib sebelum menunaikan solat fardu. Mereka sekali lagi akan kembali melakukannya selepas selesai menyempurnakan ibadah fardu masing-masing.

Meskipun ia sekadar ibadah sunat yang digalakkan, namun usah sesekali kita memandang remeh tentangnya. Terlalu banyak imbalan yang bakal diraih.

Bahkan, dalam satu riwayat, Rasulullah SAW sering melazimkan solat berkenaan.

Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamat) ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga tiga kali - bagi yang menghendakinya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, apakah kelebihan yang ada pada solat sunat rawatib tersebut? Benarkah pelakunya akan dapat rumah di syurga dan terselamat daripada api neraka?

Sebelum dan selepas solat fardu

Artikel Berkaitan:

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam mewawancara Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Islam), Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH
USTAZAH NOOR RASHIDAH

Beliau membuka kalamnya dengan menjelaskan maksud solat sunat rawatib iaitu sembahyang sunat yang dilakukan sebelum atau sesudah melaksanakan solat fardu.

“Dinamakan sebagai solat sunat qobliyah apabila ia dikerjakan sebelum solat fardu, manakala bagi solat yang dilakukan selepas menunaikan yang fardu, ia dipanggil sebagai solat sunat ba’diyah.

“Dari segi hukum, terdapat dua kategori iaitu sunat muakkad (dituntut) dan sunat ghairu muakkad (tidak dituntut),” katanya ketika ditemui Sinar Islam di pejabatnya di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.

Mengulas tentang bilangan rakaat, Noor Rashidah menjelaskan, terdapat 10 rakaat bagi solat sunat rawatib (sunat muakkad), manakala bagi ghairu muakkad pula mempunyai 12 rakaat.

JANGAN lepaskan peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat dalam kehidupan terutamanya solat sunat rawatib sama ada sebelum atau sesudah solat fardu yang mana ia dijanjikan imbalan bukan calang-calang. -Foto: 123rf
JANGAN lepaskan peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat dalam kehidupan terutamanya solat sunat rawatib sama ada sebelum atau sesudah solat fardu yang mana ia dijanjikan imbalan bukan calang-calang. -Foto: 123rf

Berikut perincian waktu pelaksanaannya:

1. Sunat muakkad:

  • Dua rakaat sebelum solat Subuh.
  • Dua atau empat rakaat sebelum solat Zuhur.
  • Dua rakaat selepas solat Zuhur.
  • Dua rakaat selepas solat Maghrib.
  • Dua rakaat selepas Solat Isyak.

2. Sunat ghairu muakkad:

  • Dua rakaat (daripada empat rakaat) sebelum solat Zuhur.
  • Dua rakaat (daripada empat rakaat) selepas solat Zuhur.
  • Empat rakaat sebelum solat Asar.
  • Dua rakaat sebelum solat Maghrib.
  • Dua rakaat sebelum solat Isyak.

Rumah di syurga

Jika diteliti dengan mata kasar, begitu banyak solat sunat yang perlu dikerjakan. Tidak hairanlah jika ALLAH SWT mengurniakan imbalan yang bukan calang-calang kepada mereka yang mengerjakannya.

Perkara itu diakui oleh Noor Rashidah. Antara kelebihan yang ada padanya termasuklah pelakunya akan dikurniakan rumah di syurga kelak.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW:

“Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. 12 rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, solat berkenaan juga mampu menyelamatkan pelakunya daripada api neraka andai ia dikerjakan sebelum dan selepas solat Zuhur.

ANTARA kelebihan orang yang menunaikan solat sunat rawatib termasuklah pelakunya akan dikurniakan rumah di syurga kelak. - Gambar hiasan/ Foto: 123rf
ANTARA kelebihan orang yang menunaikan solat sunat rawatib termasuklah pelakunya akan dikurniakan rumah di syurga kelak. - Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Bahkan, Nabi SAW mendoakan rahmat kepada orang yang melaksanakan solat sunat sebelum Asar,” ungkapnya.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “(Solat sunat) Dua rakaat sebelum Subuh adalah lebih baik daripada (nilai) isi dunia dan seluruh yang ada padanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kepada satu soalan, Noor Rashidah menjawab: “Dalam buku Fadilat Solat Sunat Rawatib, antara hikmah solat sunat qobliyah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang setelah melalui kesibukan aktiviti seharian hingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu khusyuk.

“Sementara itu, solat sunat ba'diyah bertindak bagi menyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melakukan solat fardu.

“Sebenarnya, tidak terhitung kelebihan menunaikan solat-solat sunat. Selain menutup kekurangan solat fardu, individu yang melazimkannya dapat mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar, darjatnya ditinggikan serta dihapuskan dosa-dosanya yang lalu.”

Lantaran itu, beliau menitipkan pesanan agar kita merebut peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat terutamanya solat sunat rawatib.

“Andai tiada kesempatan untuk melaksanakan kesemua solat sunat rawatib, ikhtiarlah untuk melaksanakan sunat rawatib yang dituntut (muakkad).

“Namun, jika masih tiada kesempatan, paksa dan latih diri untuk laksana serta istiqamah terhadap dua rakaat solat sunat sebelum solat Subuh,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!