PTPTN-YWM tubuh Wakaf Tunai Pendidikan
DAMANSARA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melakar lembaran baharu apabila buat julung kalinya menjalin kerjasama strategik bagi memartabatkan pendidikan tinggi serta pembangunan ummah sejagat.
Kerjasama itu dinyatakan Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim yang mana ia akan mempelbagaikan lagi sumber dana PTPTN bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi secara waqaf.
“Saya yakin wakaf pendidikan ini akan dapat meningkatkan motivasi mahasiswa untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus menjana kepada pembangunan modal insan negara.
“Paling penting, usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan PTPTN kepada kerajaan sebagai sumber dana pembiayaan untuk jangka masa panjang.
"Semoga kerjasama yang dimeterai ini akan membawa PTPTN dan YWM ke arah suatu fasa baharu yang lebih cemerlang dalam memperkasakan institusi wakaf sebagai instrumen pembangunan pendidikan dan sosioekonomi ummah," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara PTPTN dan YWM di Hotel Royale Chulan, di sini pada Khamis.
MoA itu ditandatangani bersempena Program Wacana Ilmiah Wakaf Pendidikan 2024.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, menerusi kerjasama ini kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan Wakaf Tunai Pendidikan PTPTN-YWM yang merangkumi penubuhan dana wakaf sebagai inisiatif mempelbagaikan sumber dana pembiayaan pendidikan tinggi di samping pinjaman pendidikan PTPTN yang sedia ada.
“Besar harapan saya, inisiatif ini akan mendapat sokongan padu masyarakat.
“Justeru, bagi pihak PTPTN, saya berharap apabila wakaf pendidikan ini dilancarkan, inisiatif ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat korporat, institusi-institusi kewangan, agensi kerajaan dan swasta serta para pelanggan untuk melaksanakan amal kebajikan melalui wakaf pendidikan.
"Pada masa sama, PTPTN terus memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!