RM100,000 ubah suai balai raya jadi klinik kesihatan sementara
KOTA KINABALU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan peruntukan RM100,000 bagi mengubah suai Balai Raya Tangkarason untuk dijadikan klinik kesihatan sementara di Kampung Tangkarason, Beluran.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib berkata, peruntukan itu adalah inisiatif segera bagi menggantikan Klinik Kesihatan Tangkarason yang musnah dalam kebakaran minggu lalu.
"Peruntukan ini adalah untuk membaiki, mengubah suai balai raya yang dipinjamkan untuk menjadi klinik sementara dan penggunaan balai raya ini adalah bersifat sementara sehingga pembinaan klinik baharu siap.
"Setakat ini, tanah klinik Tangkarason tidak ada masalah. Sudah pun dimohon oleh KKM melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan sedikit masa lagi, pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah akan mengeluarkan surat setuju untuk pembinaan klinik tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Exco Kesihatan Negeri Sabah turut diberitahu KKM juga turut bersetuju untuk membina bangunan klinik kesihatan baharu untuk menggantikan klinik terbabit.
"Saya difahamkan oleh KKM bahawa projek baharu menggantikan klinik yang terbakar akan menelan belanja kira-kira RM1.3 juta termasuk pembinaan kuarters di tapak yang asal.
"Pelaksanaan diharap dapat diselesaikan dalam tahun ini juga sebab kita menunggu waran peruntukan dari KKM dan apabila kita peroleh sahaja waran tersebut maka kita akan melantik kontraktor secara lantikan terus iaitu untuk bencana," katanya.
Sinar Harian pada 15 Februari lalu melaporkan Klinik Kesihatan Tangkarason dan kuarters di kampung tersebut musnah akibat kebakaran.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!