Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS
RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu kekal kukuh dalam persekitaran data ekonomi AS yang berdaya tahan, kata pakar ekonomi.
Pada jam 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7745/7800 berbanding dolar AS daripada 4.7710/7800 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data ekonomi AS terus mengabaikan jangkaan pasaran yang boleh membawa kepada sokongan berterusan untuk dolar AS.
Beliau berkata, tuntutan pengangguran awal lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 201,000 pada minggu lepas berbanding anggaran konsensus sebanyak 217,000 manakala sentimen pengeluar naik kepada 51.5 mata pada Februari, bulan kedua berturut-turut melebihi paras 50 mata.
"Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal rendah berbanding dolar AS, berada dalam julat RM4.77 hingga RM4.78. Data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia akan dikeluarkan hari ini dengan konsensus kekal stabil pada 1.6 peratus pada Januari, naik sedikit daripada 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.
"Pada 1.6 peratus, kadar faedah sebenar sebanyak 1.4 peratus yang masih melebihi purata jangka panjang 0.6 peratus. Justeru, pendirian dasar monetari boleh dilihat terbatas.
"Oleh itu, skop untuk Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih tinggi adalah terhad,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1735/1776 daripada 3.1764/1826 pada Khamis, meningkat berbanding pound kepada 6.0431/0500 daripada 6.0468/0582 semalam dan tinggi berbanding euro kepada 5.1670/1729 daripada 5.1775/1873 sebelum ini.
Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia naik berbanding baht Thailand kepada 13.2780/2999 daripada 13.3105/3404 pada Khamis dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5554/5600 daripada 3.5578/5648 semalam.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 306.2/306.7 daripada 305.9/306.7 pada Khamis dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.57/8.58 daripada 8.56/8.58 semalam. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!