Cuaca panas: Sedia laksana pemadaman kebakaran berskala besar, pembenihan awan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan dan agensi berkaitan diminta bersedia melaksana pemadaman kebakaran berskala besar dan operasi pembenihan awan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 dipengerusikannya di sini semalam.

"Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan, tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

"Kerajaan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri juga perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.

Maklumat boleh dicapai melalui aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Kementerian, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarkan Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU),” katanya.

Malaysia kini sedang berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac. Taburan hujan akan berkurangan yang menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering dalam fasa ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, fenomena El Nino dengan intensiti kuat sedang melanda dunia dijangka akan menyebabkan suhu maksimum harian negara lebih tinggi dan cuaca lebih panas serta kering berbanding biasa.

Fenomena ini dijangka berlarutan sehingga suku kedua 2024 dan peralihan El Nino Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun ini.

Nik Nazmi berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan secara pembabitan semua agensi kerajaan berkaitan bagi membanteras kebakaran tapak pelupusan sampah haram.

NRES juga akan menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara negara serta kesihatan awam.

Berdasarkan rekod bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Februari lepas, beliau berkata terdapat 1,043 aduan kes pembakaran terbuka dan pembakaran sampah sarap merupakan aduan tertinggi melibatkan 715 kes.

Dalam tempoh itu, JAS juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 79 arahan di lapangan, lima kompaun, 12 notis arahan dan 666 pemantauan berkaitan pembakaran terbuka.

Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, Nik Nazmi mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!