Selangor perluas pemasangan panel solar di SUK, PDT
SHAH ALAM - Selangor perluas pemasangan panel solar di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) serta semua sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sebagai usaha menangani perubahan iklim melalui sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerja pemasangan solar di bangunan SUK telah selesai dan mula beroperasi sejak Ogos lalu.
Bagi peringkat PDT pula menurutnya, PDT Hulu Selangor, Kuala Langat dan Sabak Bernam juga selesai proses pemasangan manakala enam yang lain akan memulakan projek pada akhir bulan ini.
"Panel solar di PDT Hulu Selangor telah mula beroperasi pada Januari lalu manakala Kuala Langat sedang menunggu kelulusan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga sementara Sabak Bernam pula sedang di peringkat ujian akhir.
"Kerja pemasangan solar di PDT Petaling, Klang, Gombak, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat menyusul dijadualkan akhir bulan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, beliau menyempurnakan pelancaran projek pemasaran solar di bangunan SUK.
Jamaliah berkata, pemasangan solar dilaksanakan selepas melalui proses konsultasi dan perbincangan antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd sebelum pemeteraian perjanjian dimuktamadkan.
Katanya, pemeteraian perjanjian tersebut merupakan satu pencapaian penting buat kerajaan negeri dalam mempraktikkan amalan hijau ke arah merealisasikan agenda rendah karbon.
Tambah beliau, selain projek pemasangan panel solar di bangunan SUK dan PDT, inisiatif sama telah dimulakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor di bangunan serta dewan, pasar dan taman awam.
"Worldwide Holdings Berhad juga aktif meneroka projek-projek tenaga boleh diperbaharui dengan membangunkan ladang solar berskala besar terapung yang kini dalam fasa pelaksanaan di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
"Justeru, kerajaan negeri menyeru semua pihak terutamanya jabatan dan agensi kerajaan negeri untuk meneroka serta melaksanakan inisiatif pemasangan panel solar di bawah program ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) seperti Program Net Energy Metering (NEM) dan lain-lain ke arah merealisasikan agenda rendah karbon," katanya.
Katanya, Selangor sentiasa komited dalam usaha melestarikan alam sekitar dan akan meneruskan usaha mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan sifar karbon seawal tahun 2050.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!