Lebih banyak Jualan Rahmah di Perak tahun ini
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyasarkan lebih 500 Program Jualan Rahmah (PJR) di negeri ini bagi tahun 2024.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tahun lalu sahaja sejumlah 508 PJR dilaksanakan dan dijangka tahun ini sekurang-kurangnya 576 program.
Menurutnya, sejak Januari hingga Februari tahun ini sebanyak 108 PJR sudah dilaksanakan di seluruh Perak.
"Tahun lalu, PJR yang kita laksanakan di kawasan terpilih dalam Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) memberi manfaat kepada lebih 800,000 penduduk di Perak.
"Kita jangka pada tahun ini mungkin 1 juta penduduk di Perak mendapat manfaat daripada PJR ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Lobi Blok B, Bangunan Persekutuan Greentown di sini pada Jumaat.
Kamalludin berkata, harga yang ditawarkan pada program berkenaan melibatkan potongan harga sehingga 30 peratus dengan kerjasama rakan-rakan strategik.
Jelasnya, barangan yang dijual pula melibatkan sekurang-kurangnya 50 jenis dan kebanyakannya keperluan.
Sementara itu, pada pelancaran berkenaan sebanyak 70 bakul Rahmah turut disumbangkan kepada golongan B40 terutama yang bekerja di Bangunan Persekutuan Greentown Ipoh.
Menurut Kamalludin, KPDN Perak juga turut memberikan peluang kepada lapan peniaga makanan Menu Rahmah untuk membuka gerai dalam program tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!