Malaysia setuju tingkatkan bantuan kewangan kepada UNRWA - PM

Anwar turut menyampaikan penghargaan buat Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza. Foto PMO
Anwar turut menyampaikan penghargaan buat Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza. Foto PMO
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersetuju meningkatkan bantuan kewangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan tindakan beberapa negara besar menghentikan sumbangan mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang berkongsi mengenai perkara itu dalam perbualannya bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi semalam berkata, selain bantuan tahunan, Malaysia baru-baru ini telah menyumbang tambahan AS$2.1 juta (RM10 juta) kepada UNRWA selain AS$250,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan AS$500,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

Dalam perbualan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Abdel Fattah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.

"Petang semalam saya sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi. Dalam perbualan telefon itu, saya zahirkan ucapan tahniah atas kemenangannya dalam pilihan raya Mesir.

"Saya turut sampaikan penghargaan buat Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir atas peranan penting mereka membantu mempermudahkan urusan penghantaran 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai AS$1.2 juta dari Malaysia kepada warga Palestin di Gaza.

"Kami berdua senada dalam menzahirkan komitmen berterusan membantu saudara kita di Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Saat ini, menurut Anwar beberapa ahli Parlimen Malaysia daripada blok kerajaan dan pembangkang sedang dalam perjalanan ke Rafah bagi menyatakan sokongan buat Mesir dan membantu urusan penghantaran bantuan kemanusiaan dari negara kita ke Gaza.

"Alhamdulillah, Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir membantu urusan wakil kita dan semua Ahli Parlimen Malaysia telah diberi kebenaran untuk mengunjungi sempadan Rafah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbualan itu, Anwar dan Abdel Fattah menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir bukan saja terkait isu Palestin, bahkan merangkumi soal perdagangan dan ekonomi untuk membawa persahabatan ini ke tingkat lebih tinggi.

"Saya juga jemput Presiden Sisi untuk berkunjung ke Malaysia,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!