Kerangka Ekonomi Madani pendekatan menyeluruh tangani isu sosial, ekonomi

Anwar (depan empat dari kanan) bergambar sempena pelancaran Tun Razak Exhange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia, pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar (depan empat dari kanan) bergambar sempena pelancaran Tun Razak Exhange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerangka Ekonomi Madani mewakili pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan nilai untuk menangani isu-isu sosial dan ekonomi yang telah lama membelenggu Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan kerangka itu mewakili strategi yang menyeluruh dirangka untuk menggiatkan semula landskap ekonomi Malaysia, yang akan menangani cabaran sedia ada, tetapi turut memberi tumpuan kepada bidang utama untuk pertumbuhan dan daya tahan mampan.

"Inisiatif Madani bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia pada skala global, menguruskan kerumitan landskap global dan memastikan kebolehupayaan dan daya tahan negara melalui daya saing yang dipertingkatkan," kata beliau dalam ucaptama pada pelancaran Tun Razak Exhange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di sini pada Jumaat.

Anwar turut menekankan pembangunan inovasi dan keusahawanan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inklusif selain memastikan pengagihan manfaat yang saksama.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digalakkan untuk menggunakan kemajuan teknologi dan menyelaraskan proses kawal selia," kata beliau.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penggunaan kemajuan teknologi dan menyelaraskan proses kawal selia meletakkan kepentingan dalam mengurus inflasi, mengoptimumkan pasaran buruh yang dinamik dan memperkukuh sektor kewangan negara.

"Langkah-langkah ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan momentum ekonomi selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan domestik dan antarabangsa," kata beliau.

Mengenai status TRX sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) negara, Anwar berkata, TRX mempunyai status istimewa apabila kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk syarikat yang memindahkan pangkalan mereka di sini.

Artikel Berkaitan:

"Ini merangkumi elaun bangunan industri, pengecualian cukai 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun untuk pemaju hartanah, pengecualian duti setem ke atas pinjaman dan perkhidmatan untuk syarikat berstatus TRX," kata beliau.

TRX telah muncul sebagai hab perniagaan global dengan rangkaian syarikat yang pelbagai dan jumlah tenaga kerja melebihi 30,000 orang termasuk 20,000 pekerja berpengetahuan.

Tun Razak Exchange seluas 28.33 hektar terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, dengan infrastruktur dan kemudahan terkini. TRX City Sdn Bhd (TRXC), anak syarikat milik penuh MOF Inc, adalah pemaju utama Daerah TRX. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28