Pemaju waspada kenaikan kos susulan prestasi ringgit semasa
PEMAJU hartanah berwaspada terhadap kemungkinan kenaikan kos bahan binaan susulan penyusutan ringgit dan memastikan sebarang peningkatan adalah terkawal.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Bhd, Datuk Azmir Merican berkata, setiap satu peratus susut nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan peningkatan 0.15 hingga 0.25 peratus untuk satu 'kejituan', yang merujuk kepada istilah seni bina.
"Kami sedang memantau situasi (tukaran asing) ini. Suka atau tidak, pemaju hartanah secara keseluruhannya meningkatkan sedikit kos dan menaikkan harga kepada pembeli juga," katanya pada taklimat media maya berikutan pengumuman keputusan kewangan kumpulan 2023.
Azmir berkata, berikutan bahan mentah dalam sektor pembinaan diimport, kesan kadar pertukaran akan dirasai, sekali gus memberi kesan kepada margin pada masa hadapan.
"Saya berharap ekonomi kekal stabil dan dengan laporan positif bahawa ringgit dijangka mengukuh menjelang akhir tahun ini, saya tidak fikir kita akan menghadapi masalah kenaikan harga.
"Selain sebarang situasi yang tidak diduga, saya fikir (senario) ringgit yang lebih kukuh akan memberi manfaat kepada kami dalam sektor hartanah," kata Azmir.
Sebelum ini, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, kelemahan semasa ringgit adalah sementara kerana pasaran global, terutamanya rakan dagangan terbesar Malaysia, China, sedang mengimbangi semula arah aliran inflasi mereka.
Beliau turut menganggap penyusutan ringgit sebagai tindak balas yang berlebihan.
Dari segi konteks yang lebih luas, banyak negara Asia sedang bergelut dalam keadaan kewangan yang ketat, terutamanya yang bergantung kepada pembiayaan dalam denominasi dolar AS, katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!