Letupan gas: Dua mayat ditemui tidak sempurna

Insiden letupan gas di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama.
Insiden letupan gas di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama.
A
A
A

PUCHONG - Dua mayat dalam insiden letupan gas di sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong Utama, dekat sini, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, keadaan kedua-dua mangsa agak teruk dan tidak sempurna ketika ditemui semasa proses siasatan dilakukan.

Beliau berkata, ekoran keadaan mayat yang agak teruk, ia menyebabkan petugas JBPM dan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil masa untuk menguruskannya.

"Kita jangkakan akan mengambil satu hingga dua jam lagi untuk selesaikan siasatan di lokasi dan proses mengeluarkan mayat.

"Keadaan mayat yang tidak sempurna menyebabkan pasukan petugas mengambil masa untuk melakukan siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Kata beliau, keadaan dan situasi semasa di lokasi kejadian dan premis terlibat adalah selamat.

Namun begitu menurutnya, pemantauan berterusan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan terjamin.

Tambah Mukhlis, dua mangsa yang selamat dan mengalami kecederaan telah diberikan bantuan pernafasan serta rawatan awal.

Artikel Berkaitan:

"Pihak forensik (bomba) masih menyiasat punca letupan.

"Pemeriksaan membabitkan tong gas yang berada di premis, namun didapati tiada berlaku kebocoran.

"Pemilik premis yang tercedera juga sudah mendapatkan rawatan, identiti kedua-dua mangsa yang meninggal dunia masih belum dikenal pasti," ujarnya.

Tegas Mukhlis, siasatan mendalam turut dijalankan sekiranya terdapat perlanggaran standard operasi prosedur (SOP) atau perlanggaran spesifikasi keselamatan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!