Cabutan bertuah tawar hadiah Ducati Panigale V4S, RXZ
KUANTAN - Sebuah Ducati Panigale V4S bernilai lebih RM150,000 dan dua buah motosikal RXZ bernilai keseluruhan RM60,000 bakal menjadi rebutan untuk cabutan utama sempena RXZ Fighter di pekarangan Serambi Teruntum di sini pada 1 dan 2 Mac depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia antara tarikan yang ditawarkan buat peserta dan pengunjung dalam program julung kalinya dianjurkan oleh kerajaan negeri.
"Selain tiga motosikal tersebut, pelbagai lagi hadiah cabutan bertuah ditawarkan bagi memeriahkan program yang dijangka menghimpunkan kira-kira 50,000 orang.
"Kita yakin dengan sasaran tersebut, setakat ini sebanyak 10,000 baju-T untuk program itu juga telah habis terjual," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, peminat sukan permotoran tidak akan melepaskan peluang berhimpun dalam acara tersebut.
"Saya sendiri akan terlibat dan menunggang motosikal RXZ sempena program itu akan nanti," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peserta yang hadir supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan menunggang secara berhemah serta menghormati arahan pihak berkuasa.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!