'Kami tak sanggup tengok kucing terbiar mati kelaparan'
PASIR MAS - Tidak sanggup melihat kucing terbiar mati kebuluran, berpenyakit sekali gus menjadi makanan ular sawa, sekumpulan peminat haiwan bulus di negeri ini menawarkan diri untuk menjaga binatang kesayangan Rasulullah SAW itu.
Berbekalkan minat mendalam dan tanggungjawab terhadap haiwan itu, mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta peringkat umur menubuhkan Pertubuhan Prihatin Haiwan Kelantan (Rumah Prihatin) bagi membela nasib si bulus itu.
Penasihatnya, Norashikin Che Omar, 40, berkata, kesungguhan mereka itu telah mendapat perhatian apabila pemilik Kem Desa Mahmood di Tok Uban dekat sini iaitu Tan Sri Hussein Ahmad yang memberikan kebenaran untuk mereka membuka sebuah pusat pelindungan kucing diadakan di atas tanah seluas 1.2 hektar.
"Walaupun kawasan sudah lama tidak digunakan dan kami perlu melakukan banyak kerja seperti pembersihan, mengecat dan sebagainya.
"Namun ia tidak melemahkan semangat kami, demi membela nasib kucing-kucing terbiar," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Kem Desa Mahmood di sini.
Menurut Norashikin, kesemua tugas itu dilakukan selepas waktu berkerja dan setiap hari mereka berada di sini bagi memastikan pusat pelindungan kucing terbiar itu dapat disiapkan dengan segera.
Tambahnya, walaupun serba kekurangan serta kekangan dari segi kewangan namun itu tidak melemahkan semangat mereka.
"Setiap bulan kami perlu ada sekitar RM20,000 untuk perbelanjaan makanan, ubat-ubatan, vitamin serta membayar upah petugas untuk menjaga kawasan ini sepenuh masa.
"Angka tersebut terlalu banyak, manakala kami pula tidak mempunyai dana hanya mengharapkan ihsan ahli Rumah Prihatin serta sumbangan daripada orang ramai.
"Demi lebih 300 ekor kucing terbiar pelbagai jenis yang dijaga, kami sanggup melakukan apa sahaja," katanya.
Menurut beliau, misi mereka ialah untuk mendidik masyarakat agar memandulkan kucing supaya tiada lagi haiwan tersebut dilihat terbiar selepas ini.
Ujarnya, hasrat mereka ialah dua tahun lagi Kelantan bebas kucing terbiar.
"Kami juga mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyertai Rumah Prihatin.
"Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbang demi kelangsungan kucing-kucing terbiar ini di akaun Maybank 553056450441 Pertubuhan Prihatin Haiwan Kelantan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!