LBS bina dewan serbaguna di IPD Petaling Jaya
SHAH ALAM - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) bakal membina dewan serbaguna buat anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Pembinaan dewan itu dilihat sebagai usaha untuk memperkasakan kemudahan bagi anggota polis dan mempelbagaikan peluang untuk terlibat di dalam aktiviti bersama masyarakat setempat.
Dewan yang diberi nama Dewan Jaya LBS merupakan inisiatif dan tajaan sepenuhnya oleh LBS Foundation, sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk aktiviti CSR syarikat itu.
Majlis pecah tanah tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sambil disaksikan Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San dan barisan pegawai-pegawai serta anggota yang menyaksikan acara simbolik hubungan erat antara pihak berkuasa dan masyarakat.
Pembinaan Dewan Jaya LBS menzahirkan komitmen LBS Foundation dalam memberi sumbangan berterusan kepada pembangunan komuniti dan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Dewan Jaya LBS ini bakal digunakan sebagai sebuah dewan serbaguna dan menyediakan ruang bagi aktiviti pasukan polis. Ia juga boleh diguna pakai untuk program latihan, acara-acara komuniti dan pelbagai acara rekreasi yang mampu menjalin ukhwah masyarakat setempat.
Hock San berkata, pembinaan dewan itu mengingatkan dirinya kepada usaha mendiang bapanya, Datuk Seri Lim Bock Seng dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Ini selaras dengan aspirasi LBS Foundation yang memberi fokus utama dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar dan Kesihatan.
“Acara pecah tanah hari ini juga merupakan salah satu usaha yang bakal memberi manfaat berterusan kepada komuniti pasukan polis dan masyarakat di Petaling Jaya secara amnya,”katanya, di sini, hari ini.
Menurutnya, LBS Foundation akan terus komited dan menyokong sebarang usaha untuk memperkasakan pasukan barisan hadapan yang begitu banyak berjasa kepada negara dan masyarakat.
“Pembinaan dewan ini juga diharap dapat menyuntik impak positif dan mempamerkan hubungan erat di antara pihak berkuasa dan masyarakat,”katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai LBS Foundation dan aktiviti-aktiviti berkaitan, layari laman web rasmi www.lbs.foundation.com.my, atau ikuti kami di laman media sosial at www.instagram.com/lbsfoundationmy/ dan www.facebook.com/lbsfoundationmy/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!