Program mentor mentee KEDA lahirkan ramai usahawan muda
JITRA - Program mentor mentee berjaya melahirkan ramai usahawan khususnya golongan muda dalam pelbagai bidang khususnya penyejukbekuan dan penyaman udara, jahitan serta makanan ala Thai.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff berkata, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk tahun ini bagi menjayakan program mentor mentee di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di negeri ini.
Menurutnya, setakat ini KEDA mempunyai seramai tiga mentor dan 25 mentee yang berdaftar untuk diagihkan peruntukan keseluruhan yang disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Sasaran kita adalah untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah B40 termasuk luar bandar di negeri ini, melalui penglibatan mereka dalam projek-projek ekonomi yang berupaya meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka,” katanya selepas majlis penyerahan peralatan bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Mentor Mentee di sini pada Jumaat
Ismasuhaimi berkata, setiap mentee yang terpilih diberi bantuan maksimum sebanyak RM10,000 merangkumi kos latihan, kursus dan peralatan.
“Mentor akan membekalkan semua peralatan dan memantau setiap mentee di bawah mereka. Bantuan yang disalurkan dikendalikan oleh mentor secara ‘one to one coaching’,” katanya.
Menurutnya, semua mentee terlibat telah disemak bagi memastikan usahawan tersebut masih aktif menjalankan perniagaan.
“KEDA akan memantau mentor dan setiap mentee selama setahun seperti garis panduan ditetapkan oleh KKDW.
“Walaupun tempoh pemantauan program telah tamat, KEDA akan pastikan mentor akan terus memantau dan membantu mentee untuk terus meningkatkan pendapatan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, program mentor dan mentee ini diharap menjadi contoh kepada model perniagaan lain pada masa akan datang agar lebih ramai usahawan dapat dilahirkan.
Ismasuhaimi berkata, untuk tahun ini, KEDA membantu usahawan dalam bidang penyejukbekuan dan pendingin hawa, dengan bekerjasama bersama syarikat MKR Waja Enterprise yang dilantik sebagai mentor.
“Syarikat ini menjalankan kursus Heating Ventilation Air Conditioning dan merupakan sebuah syarikat pembekal penghawa dingin di wilayah Utara.
“Kos keseluruhan sebanyak RM100,000 melibatkan 10 peserta sekitar Kedah, terdiri daripada ketua isi rumah B40 yang layak serta mempunyai pengalaman dalam bidang penghawa dingin,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!