Program Madani Rakyat: Kaunter diskaun saman trafik 'laris'
KUALA SELANGOR - Kaunter bayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun hingga 50 peratus pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Pada hari pertama, kaunter pembayaran saman yang dibuka sejak 9 pagi tadi tidak lengang dengan kehadiran orang ramai yang mahu melunaskan saman trafik masing-masing.
Mohd Rashid Mohd Ridwan, 48, tidak melepaskan peluang merebut tawaran potongan 50 peratus kadar bayaran saman untuk melunaskan tiga saman trafik.
"Sebelum ini saya terlepas Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Bukit Jalil untuk diskaun saman, hari ini saya berjaya melakukannya,” katanya.
Pekerja swasta, Hafizulfarhan Abdullah, 30, yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Sabak Bernam turut mengambil kesempatan membayar saman trafik.
Menurutnya, proses semakan dan pembayaran saman di kaunter yang disediakan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.
Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata, hingga 3 petang Jumaat kaunter bayaran saman merekodkan kutipan sekitar RM57,000 daripada 380 saman melibatkan pelbagai kesalahan trafik.
Beliau berkata, daripada jumlah saman itu hampir 50 peratus adalah saman bagi kesalahan memandu lebih had laju.
"Kaunter akan dibuka sepanjang tiga hari program berlangsung, jadi kami mengajak orang awam ambil peluang ini untuk melunaskan saman mereka pada harga diskaun,” katanya.
Selain kaunter bayaran saman PDRM, Program Madani Rakyat Zon Tengah yang dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam itu, turut menawarkan pelbagai pekhidmatan seperti pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), perkhidmatan Bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal setiap hari.
Penganjuran program itu adalah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!