Shahrazat Ahmad dilantik Ahli Lembaga Pengarah SC

Shahrazat
Shahrazat
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Datuk Dr Shahrazat Ahmad sebagai Ahli Lembaga Pengarah baharunya untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Februari lalu.

Shahrazat merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan memegang jawatan itu sejak Oktober 2023.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, Lembaga Pengarah bertanggungjawab ke atas keseluruhan tadbir urus SC dan mempunyai pengawasan terhadap mandat kawal selia dan pembangunannya.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah SC dilantik oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Latar belakang luas Shahrazat dalam bidang kewangan, ditambah dengan rekod prestasinya yang terbukti dalam pembangunan strategik dan pengurusan pelaburan menjadikannya sebagai pelantikan berharga kepada Lembaga Pengarah SC.

“Kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam penggubalan dasar akan membantu SC dalam mencapai objektif strategiknya untuk membangunkan pasaran modal yang teguh dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Awang Adek menambah, dengan kerjaya yang menjangkau hampir 30 tahun di beberapa kementerian dan agensi utama, Shahrazat membawa bersamanya pengalaman dan kepakaran luas.

Menurutnya, sebelum memegang jawatan di Kementerian Kewangan, Shahrazat memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Pertahanan dari Oktober 2021 hingga Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

“Beliau juga memegang pelbagai jawatan kanan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, terutamanya sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!