'Suami kata hari gaji nak bawa anak beli baju sekolah'
BUTTERWORTH - "Suami minta saya potong rambutnya dan beritahu esok (Jumaat) gaji kalau ada rezeki nak bawa beli baju sekolah anak-anak,” kata isteri kepada Mohd Izwan Illias, anggota bomba yang dikhuatiri lemas ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin pada Khamis malam.
Jamaliah Abd Majid, 42, berkata sebelum kejadian itu suaminya seperti berlengah-lengah untuk pergi kerja malah, ketika hendak keluar rumah kira-kira 7.15 malam Khamis, dia (suami) tak menoleh ke arahnya seperti kebiasaan yang dilakukannya.
Suri rumah itu berkata, suaminya banyak menunjukkan perubahan beberapa minggu lepas apabila kurang bercakap berbanding kebiasaannya selain sering berpesan supaya dia berdikari dan menjaga anak-anak dengan baik.
Ibu kepada lima anak berusia empat hingga 16 tahun itu reda dengan kejadian tersebut dan berharap suaminya dapat segera ditemukan dalam keadaan apa sekalipun.
Jamaliah berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh anggota bomba yang datang ke rumahnya di Permatang Pak Maras Penaga, sekitar 11 malam.
"Sejak awal lagi saya dah rasa tak sedap hati sebab biasanya kalau kerja syif malam, suami akan telefon sekitar 9 atau 10 malam bertanya keadaan saya dan anak-anak, tapi malam tadi sampai pukul 11 pun dia tak telefon.
"Dunia saya seolah-olah gelap sebaik pintu rumah diketuk oleh anggota bomba yang memaklumkan suami jatuh dari bot dan meminta saya bersabar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Jamaliah menyifatkan suaminya seorang yang penyayang dan sering mengutamakan keperluan dia dan anak-anak biarpun dari luar perwatakannya dilihat seperti seorang yang bengis.
"Saya kena terima, ini bukan mimpi tapi kenyataan. Memang sakit nak terima (kenyataan) tapi, kalau kita rasa kita sayang dia (suami), sebenarnya ALLAH lebih menyayangi dia,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa Illias Othman, 77, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak ketiga daripada enam beradik itu adalah dua hari lepas ketika dia singgah di rumah memaklumkan mahu pergi ke Pulau Bunting di Yan, Kedah untuk menjalani latihan.
"Saya memang selalu berpesan kepada dia (Mohd Izwan) supaya sentiasa menjaga diri, kerja elok-elok dan berhati-hati ketika bertugas.
"Tapi nak buat macam mana, kejadian ini tidak dijangka dan saya harap dia dapat segera ditemukan,” katanya yang menyifatkan mangsa seorang anak yang baik.
Kejadian pada 10.10 malam semalam dikatakan berlaku semasa Mohd Izwan, 42, bersama seorang lagi rakan sekerja hendak menambat bot di jeti itu usai melakukan pengujian enjin.
Operasi mencari mangsa yang merupakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth itu dilakukan secara besar-besaran hari ini membabitkan 50 anggota menggunakan sembilan bot milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga bantuan daripada bot nelayan. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!