Duit last ayah bagi: 'Tak sangka dapat semula selepas 4 tahun'

Mohd Azfarul menyerahkan semula wang tersebut kepada Nur Hidayah (tengah) yang datang bersama ibunya di Kuantan pada Jumaat.
Mohd Azfarul menyerahkan semula wang tersebut kepada Nur Hidayah (tengah) yang datang bersama ibunya di Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - "Saya sendiri tak sangka dapat semula duit ini selepas empat tahun", kata Nur Hidayah Mohamad,25 dari Jabor, Kemaman selepas seorang pekerja swasta, Mohd Azfarul Zainol Akmar, 35, ingin menjejaki pemilik wang kertas bernilai RM50 tersebut pada Selasa.

Pada wang tersebut tertera ayat 'Duit last ayah bagi,11/5/20 al-Fatihah', menyebabkan netizen turut berharap pemiliknya ditemui.

Menurutnya, ayahnya meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang dan mengakui terpaksa menggunakan duit tersebut beberapa bulan selepas itu akibat keadaan mendesak.

"Ketika itu hanya duit tersebut yang tinggal dalam beg duit dan nak pergi ke mesin ATM agak jauh.

"Saya terpaksa guna dan pada masa itu dalam hati sudah terdetik Insya-ALLAH boleh dapat semula selepas ini," katanya.

'Duit last ayah bagi', itu ayat tertera pada sekeping wang kertas RM50 yang diperoleh Mohd Azfarul pada Isnin.
'Duit last ayah bagi', itu ayat tertera pada sekeping wang kertas RM50 yang diperoleh Mohd Azfarul pada Isnin.

Nur Hidayah mengakui gembira dan bersyukur selepas menerima semula wang terbabit daripada Mohd Azfarul di sini pada Jumaat.

"Ketika tular hari itu, melihat tarikh dan ayat yang tertera menyebabkan saya yakin itu duit saya dan menghubungi Mohd Azfarul di Facebook.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan jaga sebaik mungkin selepas ini kerana ia duit belanja terakhir yang diberikan oleh arwah ayah, banyak kenangan untuk saya," tambahnya yang bekerja sebagai juruwang.

Sementara itu, Mohd Azfarul merasa lega dan bersyukur kerana dapat menyerahkan semula wang tersebut kepada pemiliknya.

"Syukur kerana segalanya sudah berakhir, pemilik pun dapat ditemui.

"Saya serahkan duit ini kepada Nur Hidayah selepas meneliti bukti-bukti dan tarikh kematian ayahnya di pelbagai platform media sosial miliknya," jelasnya.

Wang itu diperoleh ketika Mohd Azfarul mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Gambang kira-kira jam 4.15 petang pada Isnin.

Dan pada Selasa, dia membuat hantaran di Facebook miliknya untuk menjejaki pemilik wang tersebut dan tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!