Sambungan haram elektrik hampir di setiap rumah - Madius

Madius melakukan tinjauan dan mendapati sambungan haram bekalan elektrik dilakukan secara terang-terangan di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, Tawau.
Madius melakukan tinjauan dan mendapati sambungan haram bekalan elektrik dilakukan secara terang-terangan di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Satu laporan polis telah dibuat oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selepas mendapati sambungan elektrik haram dilakukan secara terang-terangan hampir di setiap rumah di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas dekat sini.

Laporan polis itu dibuat susulan perbuatan mencuri bekalan elektrik yang didapati berleluasa selepas tinjauan dilakukan oleh Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di kawasan terbabit.

Menurut Madius, SESB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah mencuri bekalan elektrik atau membuat penyambungan haram.

"Asalnya, tinjauan ini bertujuan untuk melihat kesesuaian pelaksanaan pengedar tenaga bebas (IPD).

"Namun, ketika berada di lokasi kami melihat sambungan haram secara terang-terangan hampir di setiap rumah. Kita mengambil serius terhadap perbuatan jenayah ini dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bombalai," katanya selepas melakukan tinjauan itu pada Khamis.

Ahli Parlimen Tuaran itu turut berkata, penyambungan haram adalah punca syarikat membekalkan elektrik kepada Sabah mengalami kerugian besar selain perbuatan terbabit turut mengancam keselamatan orang awam.

"Akibat perbuatan mencuri di kampung ini, SESB kerugian RM183,156 sebulan. Pada masa sama, aktiviti jenayah boleh mengakibatkan risiko kebakaran dan renjatan elektrik kepada orang awam.

"Jadi laporan polis ini dibuat bertujuan penyiasatan dan pendakwaan di pihak Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan pihak polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut meminta orang ramai tampil membuat laporan polis berhubung perbuatan terbabit.

"Perbuatan mencuri elektrik antara faktor penyebab gangguan bekalan tenaga di Sabah. Jadi mari kita membanteras jenayah ini bersama-sama," katanya.

Tinjauan itu turut dilakukan bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar serta pemimpin tempatan termasuk ketua kampung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) serta pengurusan SESB lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!