KPKM ketuai sesi libat urus selesaikan isu beras putih tempatan - PM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus lebih terperinci sesegera mungkin bagi menyelesaikan isu beras putih tempatan (BPT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi libat urus yang dilaksanakan itu nanti perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) pada 20 Mac 2024 sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas NACCOL 2024 yang turut dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan.
“Dalam tempoh itu, saya mengarahkan agar program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran. Jadual pelaksanaan jualan-jualan murah ini akan dihebahkan secara kerap.
“Pada masa sama, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga beras putih import (BPI) dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah, sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga lebih berpatutan,” katanya.
Anwar dalam pada itu menegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024.
“Kendatipun bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, saya masih menerima aduan berhubung isu bekalan BPT yang terhad. Rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga beras putih import,” katanya
Beliau berkata, campur tangan Kerajaan Madani pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan dan harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil di pasaran.
“Saya turut menyinggung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi,” uajrnya
Anwar berkata, mesyuarat turut mendengar penjelasan terperinci terkait cadangan pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani.
“Pada masa sama, beberapa wakil industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!