Chelsea intai kejutan ke atas Liverpool di Wembley
MUSIM pertama Mauricio Pochettino bersama Chelsea dipalit dengan pelbagai masalah dan cabaran, namun pengendali Argentina itu masih boleh tersenyum apabila memimpin kelab London itu memburu kejuaraan Inggeris pertamanya pada Ahad ini.
“Ia amat bermakna bagi kami, kakitangan kejurulatihan untuk mara ke final dan mencabar gergasi Inggeris seperti Liverpool dan memenangi kejuaraan pertama kami di sini.
“Ia adalah impian untuk kami, kakitangan kejurulatihan. Kami mempunyai 90 minit untuk mencapainya dan kami akan berjuang.
“Pasukan sudah bersedia. Ia satu peluang yang menakjubkan untuk kami realisasikan,” kata Pochettino.
Pochettino sebelum ini ketika mengendalikan Tottenham Hotspur, gagal dalam dua perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, mara ke final Liga Juara-Juara, final Piala Liga dan tewas dua separuh akhir Piala FA.
Pengendali berusia 51 tahun itu diupah pemilik kelab London tersebut musim ini untuk menjadikan Chelsea pemenang kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan meletakkannya kembali dalam kalangan elit Eropah.
Biarpun begitu misi Pochettino masih jauh dengan Chelsea di tempat ke-10 Liga Perdana Inggeris, 25 mata di belakang Liverpool, yang akan dihadapi The Blues pada perlawanan akhir Piala Liga di Wembley.
Liverpool sebelum ini membelasah Chelsea 4-1 bulan lalu - keputusan yang menggambarkan jurang perbezaan kedua-dua pasukan.
Namun selepas itu, Pochettino mula mencongak strategi dalam menyelesaikan setiap satu masalah Chelsea.
Malah kemenangan ke atas Aston Villa di pentas Piala FA, kemenangan terhadap Crystal Palace di Selhurst Park dan keputusan seri menentang Manchester City bermakna Chelsea dalam kerangka fikiran yang positif mencipta kejutan di Wembley.
PIALA LIGA
AHAD (25 FEBRUARI)
Perlawanan Akhir
Chelsea lwn Liverpool
(Stadium Wembley, 11 malam)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!