Semboyan buat Arif Aiman ke Piala Asia B-23 Qatar 2024
SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara mungkin boleh mempertimbangkan memanggil sayap lincah, Arif Aiman Hanafi bagi memantapkan Harimau Muda mengharungi pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar April depan.
Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan berkata, pengalaman pemain itu yang pernah beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Doha bulan lalu sememangnya amat ditagih skuad muda negara tersebut.
Malah beliau berkata, kelincahan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mampu mengubah senario permainan dan mengucar-kacirkan pasukan lawan dalam kempen tersebut.
“Bagi saya wajar dipanggil (Arif Aiman). Dia pun ada pengalaman bermain di Qatar pada Piala Asia 2023 Januari lalu.
“Kehadirannya mampu membantu pasukan. Dia bijak mengatur permainan dan meledak jaringan buat skuad,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis menyasarkan skuad Harimau Muda mara ke suku akhir pada kejohanan yang bermula 15 April hingga 3 Mei depan.
Bagaimanapun Razman berkata, segala-galanya terserah kepada jurulatih, Juan Torres Garrido dan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon kerana kelibatnya juga diperlukan untuk Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Malah pada masa sama katanya, keizinan dari JDT juga menjadi keutamaan susulan Piala Asia B-23 berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain pemain itu juga mungkin terlibat dengan skuad Harimau Selatan menyertai pra-musim di luar negara.
“Penting juga kesediaan Arif Aiman untuk bersama skuad B-23 kerana bimbang dia tak boleh perform dengan jadual yang padat.
“Bagi saya, kalau tanya pemain, sudah tentu dia mahu main. Apapun terserah kepada barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan dan kebenaran dari kelabnya, JDT,” katanya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Muda berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.
Anak buah Garrido diundi dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Kuwait dan Uzbekistan yang akan menjadi lawan pertama pada 17 April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!