Sinar Daily fokus tiga teras utama
SHAH ALAM - Tiga teras utama menjadi fokus portal berita bahasa Inggeris, Sinar Daily tahun ini sebagai usaha memperkasakan laporan berita, seiring penjenamaan semula portal berkenaan.
Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman berkata, portal terbitan Sinar Karangkraf itu akan memberi perhatian kepada usaha memperkasakan minda, memecah sempadan serta tagline telus dan tulus.
“Kami ingin memastikan platform Sinar Daily dapat merealisasikan ketiga-tiga perkara ini dan dalam masa sama membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat ketika situasi sukar sekarang ini.
“Selain laporan menyeluruh dan sesi audio siar (podcast), kami juga akan menganjurkan pelbagai program dan acara melibatkan kumpulan secara keseluruhan,” katanya.
Tambahnya, Sinar Daily turut melakukan beberapa perubahan terhadap logo di laman portalnya.
Ujarnya, pemilihan warna hitam dan putih mewakili sifat neutral laporan yang disiarkan selain membolehkan tumpuan kekal kepada isi kandungan berita.
“Ia bukan sahaja mencerminkan profesionalisme dan kesungguhan, kami juga mahu menjadi sebuah organisasi yang mantap dan bereputasi.
“Perubahan itu juga bertujuan menarik minat generasi muda meneroka berita dan tajuk utama dunia di laman portal Sinar Daily,” ujarnya.
Sementara itu mengenai She Leads yang bakal dianjurkan, Tasnim menjelaskan, program julung kali diadakan itu membuka peluang kepada golongan wanita untuk meningkatkan taraf hidup serta profesionalisme mereka.
“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkasa kewangan dan kesejahteraan pekerjaan, malah memupuk sikap sayangkan diri, keselamatan kewangan dan gaya hidup.
“Setiap episod akan bermula dengan menentukan matlamat dan struktur diikuti cara berpakaian yang sesuai, perbincangan mengenai kesejahteraan dan kesihatan sehingga kepada topik berkaitan perancangan kewangan untuk masa depan.
“Empat siri program ini akan diakhiri dengan sidang kemuncak yang mengetengahkan topik mengenai wanita dalam kerjaya seperti tanggungjawab peribadi, profesional, hak wanita termasuk skop undang-undang, kesihatan mental serta jurang generasi,” jelasnya.
Siri pertama She Leads akan berlangsung pada 27 Febuari ini di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula jam 2.30 petang hingga 5 petang.
Mereka yang berminat boleh melakukan pembelian tiket melalui laman web https://sheleads.sinardaily.my/product/setting-goals-structure/ atau https://www.ticket2u.com.my/event/34487/she-leads-series.
-INFO
-- Program She Leads
She Leads 1: Setting Goals & Structure
Tarikh: 27 Febuari 2024
Panelis:
1. Nisa Ismail - CEO Sedania As Salam Capital Sdn Bhd
2. Penny Choo - Pengasas Bloomthis
She Leads 2: Dressing Right & Feeling Good
Tarikh: 7 Mei 2024
Panelis:
1. Nabilla Nordin (Warnabilla) - Jurusolek, pengasas @thepowderuum dan pemilik COOLaunty Eyewear
2. Andrea Wong - Fashion Stylist for Crazy Rich Asians, bekas Ketua Editor Elle MY dan bekas Editor Fesyen Harper’s Bazaar MY
She Leads 3: Workforce Wellness & Toxic Cleansing
Tarikh: 25 Jun 2024
Panelis:
1. Kevin Zahari - Jurulatih kesihatan
2. Nana Mohd (pernah dikenali sebagai Nana Al Haleq) - Jurulatih kesihatan dan kecerdasan
She Leads 4: Don't Go Broke In Your Golden Years
Tarikh: 27 Ogos 2024
Panelis:
1. Erin Adlina - Perunding kewangan hartanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!