Adik cari kakak kandung, berpisah sejak 26 tahun lalu
SHAH ALAM - Seorang lelaki meminta bantuan orang ramai terutama rakyat negara ini bagi mencari kakak kandungnya yang tidak pulang ke rumah sejak 26 tahun lalu selepas berhijrah ke Malaysia.
Adik wanita berkenaan yang juga warga Indonesia, Heryansyah, 44, berkata, kakak sulungnya, Naning Sriyunaningsih, 47, bekerja di Malaysia sebagai Tenaga Kerja Wanita (TKW) yang sah.
"Masa itu umur saya 18 tahun dan kami tinggal di Kampung Kerongkeng Kecamatan Empang, Sumbawa NTB, Indonesia.
"Kami tinggal di desa dan pada zaman kakak pergi (Malaysia), belum ada kemudahan telefon mahupun media sosial. Jadi kami terpisah tanpa khabar.
“Ayah dan mak kami sekarang sudah uzur dan sangat merindui kakak,” katanya kepada Sinar Harian.
Anak kedua daripada empat beradik itu turut memuat naik satu video di aplikasi TikTok bagi mengenang kembali memori bersama kakak kesayangan.
Tambah Heryansyah, keluarga masih berharap kakaknya masih hidup walaupun sudah lama tidak mendapat perkhabaran mengenai status dan keberadaan wanita tersebut.
"Perkara paling saya tidak boleh lupa tentang kakak adalah sewaktu kecil kami selalu berebut makanan ringan yang dibawa ibu ketika pulang dari pasar.
"Saya berharap sangat akan bertemu kembali dengan kakak kerana kami sekeluarga sangat merinduinya," ujarnya.
Orang ramai yang mengenali Naning atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh boleh menghubungi Heryansyah di talian 62081237108301 atau menerusi Facebook dan TikTok Arik Sapurata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!