Ringgit dijangka diniaga pada paras semasa minggu depan

Ringgit dijangka berlegar antara 4.76 dan 4.77 berbanding dolar AS minggu depan. Gambar hiasan
Ringgit dijangka berlegar antara 4.76 dan 4.77 berbanding dolar AS minggu depan. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan sama pada julat semasa, berlegar antara 4.76 dan 4.77 berbanding dolar AS minggu depan, berikutan dolar AS dijangka meneruskan aliran menaiknya, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, susulan sentimen pasaran yang lemah ia menjadikan dolar AS lebih tinggi.

Beliau berkata, masih terdapat ketidakpastian sama ada Indeks Dolar AS (DXY) mampu meningkat lebih jauh, tetapi titik data semasa menunjukkan terdapat sedikit ruang untuk dolar AS meningkat.

"Oleh itu, kami menjangkakan trend itu akan berterusan minggu depan dengan gandingan dolar AS/RM kekal pada paras semasa,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS berikutan dasar monetari berhati-hati Amerika Syarikat (AS) yang tidak memotong kadar faedah buat masa ini dan kebimbangan terhadap pertumbuhan China.

Pada Selasa, mata wang tempatan mencecah 4.80 berbanding dolar AS, susulan itu menyebabkan Bank Negara Malaysia mengeluarkan kenyataannya mengenai keadaan pasaran semasa.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengabaikan atau mengambil mudah penyusutan ringgit, malah berterusan berusaha untuk menangani isu itu sambil pada masa yang sama memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Beliau berkata, bank pusat telah ditugaskan untuk memantau ringgit dengan teliti, dan di pihak kerajaan, kementerian serta pihak berkuasa berkaitan, termasuk majlis pelaburan, mengadakan mesyuarat setiap hari untuk menangani isu itu.

Artikel Berkaitan:

Anwar menegaskan bahawa jika keyakinan berkurangan kerana ringgit, Malaysia tidak akan mampu mencapai rekod pelaburan tertingginya sebanyak RM329.5 bilion tahun lepas, meningkat 23.0 peratus berbanding 2022.

"Kenapa kita perlu melihat hanya dari segi ringgit dan membandingkannya dengan 1998? Pada 1998, ringgit jatuh, pelaburan jatuh, dan inflasi meningkat, ia tidak sama," katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, adalah penting untuk kerajaan memberi tumpuan kepada perkara yang boleh dilakukan dan perlu dilakukan setiap hari.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.7750/7795 berbanding 4.7765/7820 seminggu sebelumnya.

Berbanding mata wang utama lain, mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya lebih rendah kecuali ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1677/1709 daripada 3.1780/1818 seminggu sebelumnya.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 6.0437/0494 daripada 6.0117/0186 dan merosot berbanding euro kepada 5.1656/1705 berbanding 5.1419/1478 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang Asean, kecuali baht Thai, ia naik kepada 13.2198/2381 daripada 13.2559/2763 pada Jumaat lepas.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5489/5525 daripada 3.5479/5522 seminggu lepas, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 306.1/306.5 berbanding 305.7/306.1 sebelum ini dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.54/8.55 daripada 8.53/8.55 ketika ditutup minggu lepas. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!