Premis urut tawar khidmat ranjang wanita warga asing diserbu
KUALA LUMPUR - Hanya benarkan pelanggan tetap selain menawarkan khidmat ranjang wanita warga asing dengan bayaran serendah RM150, itu aktiviti dibongkar menerusi serbuan di premis urut di sekitar Lembah Klang pada Jumaat.
Aktiviti haram itu digempur menerusi 16 serbuan Op Noda Mega bermula jam 3 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Serdang dan Gombak di Selangor serta Sentul, Kuala Lumpur.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi itu bertindak menahan 64 individu iaitu 14 penjaga kaunter, 48 wanita warga asing disyaki pekerja seks serta dua pelanggan lelaki.
Menurutnya, wanita warga asing itu terdiri daripada 38 warga Thailand, tiga China dan tujuh Vietnam.
"Polis telah merampas pelbagai barang antaranya wang tunai RM4,796, rekoder kamera litar tertutup (CCTV), alat kawalan jauh pintu masuk premis, kondom, jadual kerja, risalah iklan, tisu basah, minyak urut dan gel pelincir serta telefon bimbit.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 372A/Seksyen 372B/Seksyen 373/Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, kegiatan yang berselindung di premis urut itu mendapati wanita warga asing terbabit digajikan dengan menawarkan aktiviti tidak bermoral.
Katanya, premis terbabit dikesan beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 11 malam dan pelanggan yang hendak mendapatkan khidmat urut boleh datang secara walk-in selain membuat tempahan melalui WhatsApp.
"Premis ini kebanyakan menyasarkan warga asing selain pelanggan tetap dengan pakej perkhidmatan seks ditawarkan sekitar RM150 hingga RM320, manakala urutan badan RM60 hingga RM120.
"Terdapat bayaran tambahan dikenakan sekiranya pelanggan mahukan khidmat tambahan," ujarnya.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati kebanyakan wanita warga asing ini bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial.
"Terdapat juga wanita asing yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri," ujarnya.
Tegasnya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk proses dokumentasi dan siasatan selanjutnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!