Lelaki mabuk, buat onar di restoran diberkas

Tangkap layar video tular berkaitan kekecohan di sebuah restoran dekat kawasan Bukit Beruntung pada Jumaat.
Tangkap layar video tular berkaitan kekecohan di sebuah restoran dekat kawasan Bukit Beruntung pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Tindakan seorang lelaki membuat onar di sebuah restoran dekat kawasan Bukit Beruntung di sini membawa padah apabila diberkas polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, suspek yang dalam keadaan mabuk telah masuk ke dalam restoran berkenaan sebelum mengganggu beberapa pelanggan.

"Pekerja restoran kemudiannya bertindak menghalau suspek sebelum suspek bertindak agresif dan mengambil sebilah pisau serta merosakkan beberapa peralatan di premis berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Faizal berkata, suspek kemudiannya diberkas polis untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 42 tahun.

"Selain itu, suspek turut mengalami kecederaan di bahagian jari telunjuk dan siku sebelah kanan serta dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506, 427 dan 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Rakaman video memaparkan insiden kekecohan di restoran terbabit turut tular di media sosial pada Jumaat.