Lelaki warga Nepal diberkas ceroboh inap desa
AMPANG JAYA - Seorang lelaki warga Nepal ditahan kerana menceroboh sebuah inap desa di Kampung Perwira Jaya, Ampang Hilir di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat pemilik inap desa berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati pemilik terbabit mendakwa suspek berada di ruang ramu sebuah rumah yang dijadikan inap desa miliknya itu.
"Pemilik terbabit kemudiannya menghubungi pihak polis sebelum menyerahkan suspek kepada anggota polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, suspek kemudiannya diberkas anggota polis yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3.05 petang.
"Pemeriksaan mendapati suspek merupakan lelaki warga Nepal, suspek turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri kepada pihak polis.
"Saringan dijalankan mendapati suspek tidak di bawah pengaruh dadah," katanya.
Menurutnya, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!