Segerakan projek penyelenggaraan kemudahan di pintu masuk negara - PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya semua projek penyelenggaran dan penambahbaikan kemudahan di pintu masuk negara meliputi lapangan terbang dan pelabuhan, disegerakan bagi menampung peningkatan kedatangan pelancong asing ke negara ini.
Beliau berkata, kemudahan itu perlu efisien dan harus dibaiki bagi mengelak kesesakan di beberapa lapangan terbang tertentu termasuk di Tawau, Sabah serta Pulau Pinang, dan pada masa yang sama penambahbaikan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan pantas.
"Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan), sampai ke Tawau (Sabah)..
"Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil, tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar, (jadi) tak bolehlah nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2024 (HKK) di Kompleks Kraf di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Timbalan Menteri, Khairul Firdaus Akbar Khan.
Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Ketua-ketua Pengarah yang berkaitan perlu merujuk kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyegerakan arahannya itu.
"Oleh sebab itu, saya minta semua ini disegerakan dan usahakan Anthony (Menteri Pengangkutan, Anthony Loke), segerakan hal sedemikian.. lapangan terbang Tawau, Pulau Pinang yang dah sesak, untuk memudahkan.. KLIA contohnya, itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong yang sangat tinggi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlulah mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelak daripada amalan lama.
Selain itu, Anwar berkata, sinergi antara kementerian serta agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan negara kekal berdaya saing dan lebih berkembang, meliputi pelbagai elemen yang saling berkaitan, antaranya perkhidmatan, keselamatan, kemudahan serta daya tarikan.
Beliau juga mahu promosi hasil tempatan, kraf tangan, batik dan songket diperluaskan.
"Saya ucap tahniah kepada Kementerian Pelancongan kerana memikirkan hal ini (promosi) iaitu apa yang dihasilkan di Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Jadi setiap negeri itu merasa ada peranan mereka.
"Perancangan daripada industri ini haruslah meluas supaya tiada pihak merasa tersisih. Ini penting, kraf tangan boleh mengangkat martabat hidup rakyat miskin,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara 2024 kepada Puan Bangie Anak Embol, yang banyak menghasilkan Kraf Tekstil Tenunan Pua. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi diberikan oleh Kerajaan Malaysia melalui kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1996.
HKK 2024 bermula 21 Februari sehingga 4 Mac, diadakan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan usahawan serta penggiat kraf kepada pembangunan industri kraf negara. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!