UMNO Johor tutup pintu, PH tidak perlu 'mengemis' jawatan - Hassan
PASIR GUDANG - Pakatan Harapan (PH) Johor tidak perlu 'mengemis' jawatan ketua kampung, ahli majlis atau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini selepas tiada wakilnya dilantik dalam rombakan Exco kerajaan negeri yang baharu pada bulan ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kecewa dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor kerana tiada wakil PH dalam barisan Exco kerajaan negeri yang baharu dan keputusan itu amat tidak wajar dalam mencerminkan hubungan antara dua gabungan parti politik berkenaan.
"Apa yang UMNO Johor lakukan adalah menutup pintu untuk kerjasama di Johor. Ini bermakna kerjasama diharap Presiden UMNO sendiri tidak selari dengan tindakan mereka (UMNO dan BN Johor).
"Apa lagi yang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH perlu lakukan untuk membolehkan mereka nampak pentingnya kerjasama bukan setakat di Pusat sahaja. Datuk Seri Anwar sudah kompromi (dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan) untuk jaga hubungan PH dan BN tetapi di peringkat Johor tidak kreatif dan tidak reponsif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jualan Kasih Sayang Bergerak di Dewan Komuniti di Taman Desa Cemerlang Perdana di sini pada Sabtu.
Pada 13 Februari lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin Exco sebagai Exco Pendidikan dan Penerangan negeri menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh yang sebelum ini Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri.
Rombakan barisan Exco kerajaan negeri itu yang hanya melibatkan pelantikan Aznan sementara semua Exco daripada BN sebelum ini dikekalkan sekali gus menyaksikan tiada wakil PH dalam pentadbiran kerajaan Johor.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berharap BN Johor dapat melakukan perubahan dengan membuka pintu kepada wakil rakyat PH berada dalam barisan Exco kerajaan negeri dengan memberikan sekurang-kurangnya tiga portfolio kepada mereka.
Pada Jumaat, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berharap BN memberi jawatan ketua kampung dan ahli majlis kepada wakil PH selepas mereka tidak dilantik dalam barisan Exco kerajaan negeri yang baharu.
Mengulas lanjut, Hassan tidak menafikan ketiadaan wakil PH dalam pentadbiran kerajaan negeri itu akan menjejaskan hubungan gabungan dua parti politik itu pada masa depan selain PH tidak dapat memainkan peranannya.
Jelasnya, ini kerana matlamat PH bukan setakat mahu menuntut jawatan sebagai Exco tetapi paling penting memainkan matlamat agenda reformasinya dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Tak cukup hanya nak tuntut jawatan ketua kampung, ahli majlis atau dalam GLC. PH adalah satu gabungan parti yang ada agenda reformasi bukan hanya (mahu) jawatan Exco, ketua kampung atau ahli majlis tetapi mahu reformasi pentadbiran dan institusi di Johor dilaksanakan.
"Kerajaan yang telus untuk rakyat, atasi masalah rasuah dan salah guna kuasa, bukan jawatan semata-mata. Bila ada kuasa (PH ada dalam kerajaan negeri), kita boleh laksana agenda ini. Agenda ini selari dengan di peringkat nasional," katanya.
Beliau berkata, perkembangan tersebut juga tidak menggambarkan kerjasama jangka panjang PH dan BN di negeri ini seperti yang mahu dilakukan pemimpin Kerajaan Perpaduan iaitu terus menjalin hubungan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Presiden UMNO membayangkan Kerajaan Perpaduan ini yang dipimpin Datuk Seri Anwar, kerjasama PH dan BN akan ada peringkat lebih lanjut, bukan setakat sehingga tahun 2027 tetapi berterusan dalam PRU16.
"Kepimpinan UMNO menerusi presidennya selesa bergabung dengan PH di bawah Datuk Seri Anwar. Tetapi ini tidak diterjemahkan di Johor. Apabila Aminolhuda terpaksa menagih dan 'begging'...kalau saya pemimpin PH Johor saya tidak akan 'begging', saya tidak akan meminta sedekah.
"Kalau saya pemimpin PH Johor saya tidak akan lakukan seperti Aminolhuda, tidak akan merendah diri untuk minta sedekah (minta) jawatan Exco, ketua kampung dan ahli majlis, itu 'bargain'," ujar beliau.
Beliau faham jawatan pelantikan Exco adalah hak preorogatif Menteri Besar Johor dan perkenan Sultan Johor tetapi kesal kerana semua jawatan Exco kerajaan negeri dimonopoli UMNO dan BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!