Nilai mata wang rendah beri kelebihan sektor pelancongan - Saarani

Saarani menurunkan tandangan sebagai simbolik perasmian Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang pada Sabtu.
Saarani menurunkan tandangan sebagai simbolik perasmian Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang pada Sabtu.
A
A
A

BATU GAJAH - Penyusutan nilai mata wang Ringgit Malaysia boleh memberi impak positif kepada sektor pelancongan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, kedudukan itu akan menarik dan mendorong kedatangan pelancong luar terutama dari negara yang mempunyai nilai lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia berbelanja di negara ini.

"Dulu ramai memilih bercuti ke Indonesia dan Thailand kerana duit di sana lebih rendah daripada duit kita.

"Dengan keadaan sekarang, orang akan lebih berpusu-pusu datang ke Malaysia disebabkan kita ada perbelanjaan lebih murah dari negara lain, jadi ini akan menarik perhatian orang ramai datang ke mari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE Ipoh di Tanjung Tualang dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.

Saarani bagaimanapun mengakui, negara memerlukan nilai mata wang kukuh bagi pengukuhan ekonomi terutama perdagangan dan import eksport.

"Bukanlah saya minta nilai mata wang jatuh, tetapi dari satu segi kita fikir positif lagi-lagi untuk pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya di Johor pun ketika ini ramai rakyat Singapura turun berkunjung ke negeri itu membeli barang kerana lebih murah," katanya.

Media melaporkan, nilai mata wang Malaysia terus mencatat penurunan dan menghampiri paras terendah ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998.

Kejatuhan ringgit itu menjadi perdebatan ramai pihak sekali gus mencetuskan kebimbangan rakyat.

Dalam pada itu, Saarani menolak andaian bahawa kempen dan sambutan Tahun Melawat Perak 2024 hambar berbanding negeri lain seperti Melaka dan Perlis.

Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama semua agensi dan jabatan telah membuat persiapan rapi termasuk beberapa penilaian bagi tujuan penambahbaikan terutama dalam aspek promosi dan lokasi tumpuan.

"Saya yakin kita tidak kurang daripada apa yang ada di Melaka. Kita sudah mulakannya dan kita pun dah belajar dari dua bulan pertama ini.

"Melihat daripada perkembangan itu, saya percaya selepas Aidilfitri nanti akan menjadi lebih rancak," katanya.

ESCAPE Ipoh yang terletak bersebelahan ikon warisan Kapal korek Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 (TT5) akan dibuka sepenuhnya pada April depan.

Ikon pelancongan baharu yang dibangunkan hasil kerjasama serta komitmen MB Inc dengan syarikat swasta, Sim Leisure Group (SLG) itu akan dijadikan tarikan utama Tahun Melawat Perak 2024 dan dijangka berupaya menarik kehadiran 200,000 pengunjung setahun.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!