Aura Cakra Khan pukau penonton

Cakra Khan menghiburkan peminat setianya pada Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Sabtu lepas. Foto Bernama
Cakra Khan menghiburkan peminat setianya pada Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Sabtu lepas. Foto Bernama
A
A
A

ANDAI dapat dihentikan masa, mungkin itu yang akan dilakukan hampir 3,000 peminat Cakra Khan pada Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Sabtu lepas.

Walaupun beraksi selama tiga jam mendendangkan lagu-lagu balada yang membuai perasaan dengan suara serak basahnya, namun masih tidak cukup buat peminatnya yang hadir pada malam itu.

Apatah lagi, dengan iringan orkestra di bawah pimpinan maestro muzik, Datuk Ramli MS menjadikan konsert solo kedua penyanyi terkenal Indonesia itu lebih istimewa dan tidak keterlaluan jika dikatakan tiada ruang untuk penonton merasa bosan.

Memulakan konsert dengan tayangan video konsertnya yang berlangsung di dewan sama tahun lepas, Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman memohon doa dan restu peminatnya pada hujung video itu.

"Mohon doanya, minta restunya... Malaysia aku kembali," tulis Cakra pada video itu yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh peminatnya.

Beraksi buat kali kedua di Dewan Plenari, Cakra dilihat lebih santai dan bersahaja ketika berinteraksi dengan peminatnya malah gelagatnya yang cuba berkomunikasi dalam slanga rakyat Malaysia mencuit hati penonton yang hadir.

Gelagatnya itu turut mencuri tumpuan Ramli apabila berulang kali menyuruh Cakra berkomunikasi dalam bahasa ibundanya.

"Buruk sangat bunyi cakap Kuala Lumpur, cakap sahaja bahasa Indonesia kami semua faham," usik Ramli dan Cakra membalas beliau hanya mencuba untuk rasa 'lebih dekat' dengan peminatnya.

Artikel Berkaitan:

Cakra juga berjaya mencuit emosi setiap yang hadir ketika menyampaikan lagu 'Rindu Tak Bersuara' yang didedikasikan untuk Allahyarham bapanya, Hermana yang meninggal dunia pada 2020, serta lagu 'A Song For Mama' nyanyian Boys II Men yang didedikasikan khas buat ibunya Entik Trisuyatmi yang tidak dapat hadir pada konsert kali ini.

Cakra Khan menghiburkan peminat setianya dengan iringan orkestra di bawah pimpinan maestro muzik, Datuk Ramli MS. Foto Bernama
Cakra Khan menghiburkan peminat setianya dengan iringan orkestra di bawah pimpinan maestro muzik, Datuk Ramli MS. Foto Bernama

Kemunculan peminat setia yang juga orang kurang upaya (OKU), Jaheerah Nadzri bersama-sama bapanya, Nadzri Abdul Majid di pentas sebagai kejutan untuk Cakra sekali lagi mencuri tumpuan penonton apabila Jaheerah atau Eerah turut membawa burger sebagai 'hadiah' kepada penyanyi kesayangannya itu.

Sebelum kehadiran Eerah di pentas, Cakra sempat berkongsi kisah Eerah membantu keluarga mencari rezeki dengan menjual burger bersama-sama bapanya yang pernah tular di media sosial menerusi tayangan video.

Ketabahan Eerah menurut Cakra telah memberi inspirasi dan membuka matanya supaya menjadi seorang insan yang sentiasa bersyukur.

Turut dikongsikan panggilan video antara mereka berdua dan Cakra sempat menyatakan hasrat untuk mengundang Eerah menyaksikan konsertnya, namun ditolak Eerah kerana sibuk berniaga.

Kemunculan Eerah jelas memberi kejutan dan menyentuh hati Cakra sebelum beliau mendendangkan lagu istimewa buat gadis itu bertajuk Jangan Mudah Putus Asa.

Selain itu, kehangatan konsert terus dirasai dengan kehadiran artis jemputan Dayang Nurhafizah, Datuk Seri Rossa dan Judika dengan masing-masing berduet bersama Cakra serta menyanyikan dua buah lagu.

Tidak ketinggalan segmen duet Cakra bersama anak saudara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ummi Umairah atau Umai mendendangkan lagu Seluruh Cinta yang dilakukan secara spontan.

Kehebatan vokal Cakra yang memiliki karakter tersendiri tidak dapat disangkal lagi apabila mendendangkan lebih 20 lagu termasuk medley dan berduet dengan kebanyakan lagu yang dipilih membolehkan penonton menyanyi bersama-sama.

Antara lagu yang didendangkan adalah Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik, Terlanjur Cinta, Hal Hebat, Kepada Hati, Rindu Tak Bersuara, Kekasih Bayangan dan Harus Terpisah.

Cakra juga tidak melepaskan peluang mendendangkan lagu-lagu dari album terbaharunya buat kali pertama untuk peminatnya iaitu Broken Symphony dan Kamu Adalah, selain turut menyanyikan lagu hits penyanyi dari Malaysia antaranya Malampagi, Mentera Semerah Padi dan Khayalan.

Konsert itu turut diserikan dengan keberangkatan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir beberapa selebriti tanah air antaranya Fazura, Isyariana, Merqeen dan Aisha Retno.

Ternyata persembahan tiga jam penyanyi yang bakal meraikan ulang tahun ke-32 pada 27 Februari ini tidak akan dilupakan dan akan sentiasa menjadi kenangan terindah buat penonton yang menghadirinya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!