Kebakaran hutan Australia: Kabinet lulus penghantaran misi bantuan
PUTRAJAYA - Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan cadangan penghantaran misi bantuan melibatkan 65 orang ke Australia yang kini berhadapan dengan kebakaran hutan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurutnya, misi yang akan diselaraskan oleh dua pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) terdiri daripada 39 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 22 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Misi ini akan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan anggaran kos berjumlah RM2.1 juta bagi jangkaan tempoh dua minggu," katanya dalam kenyataan oleh Nadma hari ini.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Nadma berkata, misi itu hanya akan dilaksanakan setelah mendapat persetujuan daripada kerajaan Australia dan nasihat keselamatan daripada Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Australia.
Beliau berkata, misi itu dijangka berhadapan dengan risiko keselamatan berikutan kebakaran yang meluas di negara itu.
"Anggota yang terlibat akan dinasihat untuk mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Pasukan ini juga akan dilindungi oleh perlindungan insurans dan perubatan," katanya.
Dr Wan Azizah pada Ahad lepas menyatakan hasrat Malaysia untuk turut membantu dalam usaha pemadaman kebakaran hutan itu, yang menurutnya memperlihatkan keprihatinan Malaysia dengan masalah kebakaran hutan Australia berdasarkan kepada hubungan baik dua hala yang terjalin.
Katanya, Malaysia dilihat mempunyai kapasiti dari segi keupayaan dan pengalaman dalam operasi pemadaman hutan di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia pernah terlibat dalam misi bantuan ke Indonesia bagi pemadaman kebakaran hutan di Kalimantan pada 1997 dan Riau pada 2005.
Australia sedang berhadapan dengan kebakaran hutan yang buruk sejak akhir September 2019 terutamanya di wilayah New South Wales.
Sehingga 8 Januari 2020 sebanyak 2,000 kediaman musnah dan 25 kematian dilaporkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!