Cuepacs cadang pihak ketiga jadi penasihat isu penjawat awam

Adnan Mat, Laporan Sinar Harian
Adnan Mat, Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar ada pihak ketiga yang menjadi penasihat agar keputusan memecat atau menurunkan pangkat melibatkan penjawat awam dilakukan dengan adil.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sekiranya berlaku pelanggaran, maka ada pihak yang boleh dirujuk sebelum kuasa pemutus digunakan.

"Cuepacs merasakan perlu ada pihak ketiga yang menjadi penasihat dalam memastikan situasi yang adil lagi saksama dapat dipraktikkan pada masa hadapan sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu penamatan kontrak Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Dalam pada itu, Adnan berkata, jika pengguna boleh pergi ke bahagian tribunal pengguna untuk menyelesaikan permasalahan mereka maka, ada baiknya penjawat awam juga ada jawatankuasa yang bersifat sebagai pihak ketiga diwujudkan.

"Jangan habis madu sepah dibuang. Kebijaksanaan dan musyawarah adalah pendekatan terbaik buat kedua-kedua pihak.

"Gunakan ia sebaiknya agar kebersamaan dan persekitaran yang harmoni dapat kita capai untuk bersama-sama membina sebuah negara bangsa yang hebat dan disegani seantero dunia," ujarnya.

Tegasnya, perkhidmatan awam adalah tonggak dalam struktur pentadbiran dan negara pernah berada dalam sistem pentadbiran yang mana hanya penjawat awam yang terus mentadbir.

Artikel Berkaitan:

"Tiada anggota pentadbiran di dalamnya tetapi penjawat awam menjadi benteng negara pada ketika itu bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil dan terus produktif," katanya.

Menurutnya, anggota pentadbiran datang dan pergi, namun mereka yang tinggal adalah penjawat awam.

"Maka pengalaman penjawat awam dan idealisme atau pendekatan yang hendak dibawa oleh anggota pentadbiran yang silih berganti perlu di gabung jalin dengan sebaik mungkin bagi menghasilkan mutu serta kualiti perkhidmatan yang terbaik buat sesebuah organisasi dalam memberikan khidmat bakti kepada negara.

"Keadaan yang wujud seperti yang dihadapi dalam isu penamatan Ketua Pengarah LPPM dapat dielakkan jika kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang berhikmah bagi mencapai solusi yang terbaik.

"Ini kerana ia akan memberikan gambaran atau persepsi yang kurang baik kepada pihak kerajaan seolah-olah tiada kebersamaan dalam sistem pentadbiran kerajaan bagi sesebuah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan," ujarnya.

Jelas Adnan, sebagai seorang menteri misalnya, mereka mempunyai kuasa tetapi adakah tindakan penamatan itu dilihat jalan yang terbaik dalam merungkai isu yang dihadapi.

"Apatah lagi beliau (menteri) sering kali kelihatan sebagai seorang figura yang kerap terpalit dengan isu-isu yang berkisar tentang pelanggaran kepada peraturan-peraturan yang ada dalam sistem pentadbiran kerajaan semasa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!