'Menyamar polis, samun warga asing'

Mohd Azam, Antara peralatan yang dirampas susulan tangkapan empat individu dipercayai menyamar polis dan melakukan kegiatan samun berkumpulan dalam operasi yang dijalankan pada Jumaat.
Mohd Azam, Antara peralatan yang dirampas susulan tangkapan empat individu dipercayai menyamar polis dan melakukan kegiatan samun berkumpulan dalam operasi yang dijalankan pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Menyamar sebagai anggota polis selain menyasarkan rumah yang didiami warga asing antara taktik digunakan sekumpulan penjenayah untuk melakukan kegiatan samun di beberapa kawasan perumahan di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar selepas tangkapan dijalankan melibatkan empat individu warga tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan menerusi operasi di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, sebelum itu satu laporan dibuat oleh seorang lelaki warga asing kira-kira jam 9 malam pada Khamis.

Menurutnya, mangsa mendakwa kediamannya didatangi enam individu tidak dikenali memakai vest dengan membawa gunting besar dan tukul serta memaklumkan kedatangan mereka adalah untuk menjalankan operasi.

"Setelah kesemua suspek masuk ke dalam rumah, mangsa serta tujuh rakannya diminta duduk di ruang tamu rumah dan dijaga oleh dua orang suspek.

"Suspek lain kemudian menyelongkar setiap bilik di rumah tersebut dan mengambil wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi milik mangsa dan rakan-rakannya sebelum beredar menaiki sebuah kenderaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Azam berkata, susulan maklumat diterima, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kemudiannya berjaya menahan empat individu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

"Kesemua suspek lelaki berumur 30 tahun hingga 44 tahun itu diberkas antara jam 1.30 petang hingga 9.30 malam di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas adalah 31 telefon bimbit, vest bertulisan polis, pakaian, wang tunai, tukul besi selain beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah serta tiga buah kenderaan bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi jenayah yang dilakukan adalah melakukan penyamaran sebagai anggota polis.

"Suspek dipercayai menggunakan senjata selain menyasarkan rumah warga asing bertujuan melakukan samun berkumpulan.

"Semakan lanjut mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Tambahnya, saringan air kencing dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah.

"Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!