Pengantin baharu teruja dinikahkan Menteri Agama
KUALA LUMPUR - Pasangan pengantin yang menyertai Majlis Akad Nikah Rahmah bersempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Wilayah Persekutuan, teruja apabila dinikahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mohktar.
Pasangan tersebut, Muhamad Adnan Abdullah, 53, dan Siti Mardiyah Mansor, 41, antara 10 pengantin baharu yang diijabkabulkan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, di sini pada Sabtu.
Muhamad Adnan berkata, ia merupakan rumahtangga kedua kerana mereka sebelum ini pernah berkahwin dengan pasangan masing-masing.
“Lebih beruntung hari ini, Menteri Agama (Mohd Na’im) yang nikahkan saya dan isteri yang turut beri sedikit nasihat kepada kami.
“Sebenarnya semua ini rezeki. Dalam 10 pasangan hari ini, pasangan kami yang terakhir dipanggil oleh Jawi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis tersebut.
Seramai 10 pasangan diijabkabulkan dengan pilihan tarikh istimewa 24 Februari 2024 dalam program anjuran Jawi bersama rakan strategik, Restoran Ali Maju Sdn Bhd, JAKEL Holdings Sdn Bhd, Dzzling Ummah dan Azraa Gold & Diamond.
Ditanya mengenai detik pertemuan dan bibit perkenalan, Muhamad Adnan berkata, Siti Mardiyah merupakan adik ipar kepada rakan karibnya.
Menurutnya, dia tidak menyangka pertemuan pertama pada Aidilfitri tahun lalu berkekalan yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin.
“Perkenalan kami hanya setahun dan terus memutuskan untuk berkahwin. Ini semua rezeki dan doa-doa yang dimakbulkan oleh ALLAH SWT.
“Perkahwinan ini perkara baik sebab nak dirikan masjid. Kerja dan kumpul duit, insya-ALLAH, kita boleh halalkan pasangan.
“ALLAH SWT pasti akan makbulkan semua permintaan daripada kita,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!