Jumlah kanak-kanak, wanita maut di Gaza enam kali ganda mangsa perang Rusia-Ukraine
ANKARA - Jumlah wanita dan kanak-kanak yang maut di Gaza sejak 7 Oktober 2023 melebihi enam kali ganda berbanding mangsa yang terkorban dalam perang Rusia-Ukraine.
Agensi Anadolu telah merekodkan angka korban membabitkan orang awam dalam Perang Rusia-Ukraine sejak 24 Februari 2022 serta jumlah wanita dan kanak-kanak yang terkorban dalam perang Israel di Gaza.
Israel tanpa henti mengebom Palestin yang didiami hampir 2.3 juta penduduk.
Serangan itu telah mengorbankan 29,410 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 12,660 kanak-kanak dan 8,570 wanita.
Selain itu, 69,465 yang lain cedera dengan lebih 70 peratus merupakan wanita dan kanak-kanak.
Menurut sumber Palestin, Israel telah menggunakan lebih 66,000 tan bahan letupan dalam serangan itu, dengan purata 183 tan bahan letupan bagi setiap kilometer persegi di Gaza.
Gaza musnah secara keseluruhan manakala 1.9 juta penduduknya hilang tempat tinggal.
Memetik Misi Pemantau Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (HRMMU) di Ukraine, seramai 10,378 orang awam termasuk 579 kanak-kanak dan 2,992 wanita terbunuh manakala 19,632 yang lain cedera sejak krisis Rusia-Ukraine tercetus awal 2022.
Sejumlah 8,095 kematian berlaku di wilayah Ukraine manakala 2,283 korban direkodkan di wilayah yang dikuasai Rusia. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!