Kerajaan digesa nilai secara adil mekanisme JKPK, Kabinet bayangan

Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO), CSO Platform for Reform menggesa Kerajaan Perpaduan membuat penilaian secara adil terhadap mekanisme Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) dan Kabinet bayangan bagi memupuk pendekatan tadbir urus yang lebih mantap dan menyeluruh.

Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform dalam satu kenyataan berkata, ini kerana kedua-kedua mekanisme itu dilihat dapat membentuk hubungan simbiotik.

"Masing-masing memenuhi fungsi yang berbeza namun saling melengkapi dalam menegakkan prinsip demokrasi serta menggalakkan tadbir urus yang berkesan bagi kepentingan rakyat.

“Tidak dapat dinafikan JKPK sememangnya menyediakan platform untuk bentuk kerjasama dan pengawasan merentas parti.

“Bagaimanapun, Kabinet bayangan juga mampu berfungsi sebagai rakan sejawat penting dalam memastikan penelitian dan akauntabiliti yang teguh dalam sistem Parlimen,” ujarnya pada Sabtu.

Pada Rabu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberitahu JKPK yang ditubuhkan di Parlimen merupakan forum terbaik untuk memantau perjalanan setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan berbanding Kabinet bayangan yang dibentuk Perikatan Nasional (PN).

Fahmi berkata, konsep Jawatankuasa Pilihan Khas itu sebenarnya memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen, serta dianggotai oleh semua Ahli Parlimen daripada pelbagai parti.

NGO itu berpendapat konsep Kabinet bayangan akan memperkasa kepakaran-kepakaran yang tertentu secara spesifik.

Artikel Berkaitan:

“Menteri-menteri Kabinet bayangan yang dilantik dalam konteks pembangkang Parlimen akan mewakili kepakaran khusus mereka bagi tujuan untuk meningkatkan pengawasan fungsi kerajaan.

“Pelantikan ini selalunya dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman, dan kepakaran ahli Parlimen individu dalam bidang tertentu yang berkaitan dengan portfolio yang ditugaskan kepada mereka,” ujarnya.

Untuk itu, CSO Platform for Reform mencadangkan anggota Kabinet bayangan diberi gaji melalui elaun parlimen yang diperuntukkan kepada parti pembangkang seperti dilaksanakan di United Kingdom (UK).

Katanya, elaun ini akan meliputi pelbagai perbelanjaan, termasuk gaji untuk kakitangan, perbelanjaan pejabat dan sumber lain yang diperlukan untuk fungsi Ahli Parlimen pembangkang serta pasukan mereka.

"Situasi ini diterapkan di UK di mana gaji untuk ahli Kabinet bayangan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Piawaian Parlimen Bebas (IPSA) yang bertanggungjawab untuk menetapkan gaji dan perbelanjaan Ahli Parlimen di Parlimen UK.

"IPSA ini akan menyemak dan menyelaraskan gaji dan elaun Ahli Parlimen secara berkala berdasarkan kepada pelbagai faktor termasuk kos sara hidup dan gaji sektor awam yang setanding.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!