Rafizi mohon kebenaran doktor jumpa penduduk Pandan esok

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memohon izin daripada doktornya supaya diberi kelonggaran selama beberapa jam bagi menghadiri program Kaunter Bergerak Pusat Khidmat Parlimen Pandan di Pandan Mewah pada Ahad.

Menurut beliau, ia berikutan kehadirannya sebagai Ahli Parlimen Pandan pada acara itu telah ditetapkan lebih awal dalam jadual, selain enggan mengecewakan hati penduduk khususnya di Parlimen Pandan.

Selain itu, Rafizi turut berjanji mengurangkan pergerakannya selepas ini memandangkan beliau masih lagi diberi cuti sakit sehingga 1 Mac ini.

“Saya mohon izin dari doktor saya untuk beri kelonggaran beberapa jam esok untuk berada bersama penduduk kerana jadualnya telah ditetapkan lebih awal dan saya tidak mahu penduduk kecewa.

“Saya berjanji akan mengurangkan pergerakan sebaiknya sebelum kena kecam dengan doktor-doktor saya lepas ini sebab saya masih cuti sakit (MC) sehingga 1 Mac ini,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pada Oktober tahun lepas, media melaporkan Rafizi mengalami serangan jantung dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kemudiannya dilaporkan stabil.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, program kaunter bergerak yang dijangka bermula pada jam 12 tengah hari itu turut disertai dengan pelbagai acara lain termasuk Jualan Ehsan Rahmah, Saringan Kesihatan Percuma, Pendaftaran Air Percuma Selangor, Pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), Kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kaunter Aduan, Bayaran dan Pengurangan Kompaun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mulai tahun ini, kami akan tambah satu lagi bentuk kaunter bergerak iaitu slot khusus untuk setiap taman atau kawasan perumahan.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan bergotong royong dengan penduduk, selain membawa kaunter perkhidmatan jabatan kerajaan.

“Ia juga memberi peluang kepada saya untuk menziarahi keluarga berpendapatan rendah di taman atau kawasan perumahan tersebut,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!