KL Rovers untuk dijual
KELAB Liga M3, Kuala Lumpur (KL) Rovers FC berada dalam radar untuk dijual menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula Mei depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, hasil daripada jualan kelab itu boleh membantu pihaknya melunaskan gaji pemain dan pegawai Kuala Lumpur (KL) City FC yang tertunggak selama dua bulan.
Beliau berkata, KL Rovers yang berada dalam naungan KLFA bakal dilepaskan kerana kelab itu mungkin bakal layak beraksi dalam kempen Liga Super musim 2024/25 atas tiket naib juara Liga M3.
“Imigresen FC difahamkan sudah buat keputusan tak akan masuk Liga Super, jadi kita (KL Rovers) nombor dua. Kita sepatutnya terus dapat kedudukan untuk masuk ke Liga Super.
“Pasukan ini (KL Rovers) kita (KLFA) tak boleh jaga, kita boleh jual,” katanya.
Khalid pada Jumaat memaklumkan KLFA giat mencari dana untuk melunaskan tunggakan gaji pegawai dan pemain KL City bagi Oktober dan November mencecah RM2 juta.
Beliau menjelaskan dana yang diperoleh hasil jualan KL Rovers mampu membiayai keperluan untuk membayar tunggakan gaji yang dialami KL City FC.
“Bila jual (KL Rovers), kita boleh dapat balik apa yang kita sudah laburkan. Kemudian kita boleh guna untuk lunaskan tunggakan gaji,” katanya.
Mengulas entiti yang berminat untuk membeli KL Rovers, beliau berkata terdapat beberapa pihak, namun perundingan masih berjalan.
“Ada yang cakap berminat, tapi setakat ini, berdasarkan pengalaman sepanjang tiga tahun lalu, cakap ada kala tak boleh pakai.
“Ada dua-tiga (pihak), tapi saya tak boleh cakap siapa. Apabila dapat lesen Liga Super (KL Rovers), saya rasa semua berebut untuk beli,” katanya.
KL Rovers menutup saingan Liga M3 pada musim lalu di tempat kedua dengan 54 mata, satu mata di belakang juara, Imigresen FC.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!