Taiping: Apa kata sajak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING sudah tua! Tahun ini usianya sudah mencecah 150 tahun, setua Perjanjian Pangkor yang ditandatangani di atas kapal HMS Pluto di Selat Dinding, Pulau Pangkor pada 20 Januari 1874. Kedua-duanya merupakan rentetan sejarah Perak yang tidak harus dimatikan.

Antara kewujudan Taiping dengan termeterainya Perjanjian Pangkor satu hubungan simbiosis yang mencetuskan adegan patriotisme pada zaman dahulu, di bumi logam itu. Menarik!

Antologi sajak bertajuk Taiping Bandar Tua Perak terbitan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) mengungkapkan kembali kisah-kisah Taiping yang tidak terlupakan itu.

Taiping, sebuah bandar terletak di utara Perak, merupakan ibu kota Daerah Larut, Matang dan Selama yang terbangun selepas Long Jaafar menjumpai bijih timah di Larut pada tahun 1848.

Pertumbuhan perusahaan bijih timah begitu pesat lalu menarik migran China berebut-rebut menguasai tanah lombong sehingga wujudnya Kelian Pauh (kini, Taiping) dan Kelian Baru (kini, Kemunting).

Makna ‘kelian’ ialah lombong dalam bahasa Sumatera Barat manakala ‘pauh’ ialah sejenis mempelam bersaiz kecil. Kebanjiran migran China mencetuskan kelahiran kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San yang saling bersengketa untuk merebut tanah lombong yang mengandungi bijih timah.

Pada peringkat awal perusahaan bijih timah menggunakan kaedah melampan, mendulang kemudian melombong cara terbuka, pam kelikir hidraulik dan seterusnya kapal korek.

Keberantakan Ghee Hin dan Hai San salah satu faktor mengundang kolonial British campur tangan dalam pemerintahan Perak dan akhirnya Perjanjian Pangkor termeterai.

Artikel Berkaitan:

Setelah aman, Kelian Pauh ditukar namanya kepada Taiping atau Tai-Peng bererti aman damai yang diambil daripada bahasa Mandarin.

Justeru sajak Chai Loon Guan pun memperihalkan Taiping dari perspektif sejarah. Kata Loon Guan;

Sejarahmu Taiping

tertera kehadiran

imigran Cina

awal 1870-an

Sebaliknya, Dj Dolasoh berpendapat; Di perutmu ada emas hitam | bijih timah yang berharga | hingga tercetus di lipatan sejarah puak Ghee Hin dan Hai San; manakala Othman Yatim merakamkan bahawa pembangunan Taiping berpunca daripada keterlibatan Long Jaafar dan anaknya Ngah Ibrahim yang tersohor sebagai pelombong bijih terkaya di Larut, malah di Tanah Melayu ketika itu.

Misalnya, Ngah Ibrahim memiliki bahtera bernilai dua juta ringgit (nilaian pada masa 1880-an) bernama Bahtera Bayu dan kapal inilah kenaikan beliau pergi menandatangani Perjanjian Pangkor di Selat Dinding.

Tokoh Penyair Kelantan, Leo A.W.S berkata; Malam dan lebat hujan Taiping, sejuk | hawa subuhnya: pastilah membangkitkan aku | daripada ulitan lena, menyegarkan musafir.

Memang! Taiping satu-satunya bandar di Malaysia yang sentiasa disirami hujan renyai. Cuaca redup berhawa dingin membuatkan Taiping sebagai bandar tua yang mengujakan.

Umpamanya, di Bukit Larut yang sentiasa diliputi awan dingin, jika berada di puncaknya, tidak mampu kita menanggalkan jaket panas persis berada di kota Zagreb, Croatia yang sejuknya di bawah paras beku. Bak kata Faris Arshad dalam sajaknya, Bukit Larut begini;

Berjalan kaki ke puncakmu

lelah bagai hilang di aspal

atau singgah di dedaunan hijau

atau dikutip unggas nakal

mungkin diserap kabus pagi

Bukit Larut, lokasi pelancongan utama di Taiping, merupakan tarikan pengunjung dalam dan luar negara. Ia sentiasa dikunjungi ramai kerana selain dapat menikmati keindahan panorama alam Khatulistiwa, kedinginannya mampu membawa kenangan kita ketika berada di Albania atau Sarajevo disebabkan sejuknya sedingin negara-negara Balkan tersebut.

Warisan pertama

Taiping digugah dengan sejarah kolonial. Beruntung Taiping kerana British membina banyak bangunan dan prasarana yang kini menjadi catatan warisan berstatus ‘pertama’ dibina di Malaysia.

Antaranya, landasan kereta api dari Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang), penjara, muzium, pejabat pos dan stesen kereta api. Malah lapangan terbang Tekkah yang dibina pada tahun 1930 tercatat dalam sejarah sebagai lapangan terbang pertama terbina di Tanah Melayu.

Namun begitu, bagi Muhd Mansur Abdullah, ingatannya terpaut pada Taiping dan menganggap ia sebuah bandar permai yang bersalut rindu; lembah ngarai kebun bunga tasiknya kesepian tetapi pandangan ini berbeza dengan Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh yang memperkatakan Temelok, sebuah kampung kecil di Terong berdekatan Taiping.

Muhammad mengenangkan; sejarahku berbau lumpur paya | dan asin kelat | yang mengaratkan sungai | bersama daun bakau | dunia diwarnai kabus gunung | dan watak hijau tanah lembah.

Persepsi penyair berbeza dengan sejarawan. Penyair membicarakan keindahan walhal sejarawan mengupas peristiwa. Demikian Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan meletakkan Taiping umpama seorang gadis ayu;

Kau begitu cantik

ketika angin berbisik

di muka tasik

Hal tersebut disambut oleh penyair prolifik Solihin Osman bahawa Taiping; suatu keamanan yang abadi | dari gubahan restu, kasih dan budi.

Bagaimanapun Ami Masra menghamburkan madah berlainan pandangan daripada Solihin. Kata Ami Masra; Taiping tanah tinggi dan rendah | rentak hidup di sini damai indah | banyak juga beriadah | tidak kurang tempat bersejarah | hidup sejahtera penduduknya ramah.

Lain penyair, beragam pula tanggapan mereka tentang Taiping. Mereka melihat daripada variasi sisi yang mengandungi sindiran dan kritis.

Misalnya Asha dengan sajak Taiping Bandar Tua menyindir; Taiping bandar tua | setua pohon keliling tasik | tempat cengkerama teruna dara.

Ini disokong pula oleh Malim Ghozali PK menerusi sajaknya, Elegi Jalan Kota dengan menempelak sejarah; Jalan Kota di koridor sejarah | membisu dalam pasrah | walau sendu kau nyata | setiamu teguh pada bangsa.

Selain menyindir, penyair juga bebas mengkritik, umpamanya Onn Abdullah terpanggil mempersoalkan sejarah via sajaknya, Siapa Melayu Tertipu dengan melontarkan bait-bait bombastik dan klise.

Kata Onn; setiap mata menjadi keliru | di pusat bandar sejarah ini | mencari kebenaran yang ternoda | jiwa terusik riwayat duka Ngah Ibrahim | Tengku Menteri terbuang jauh ke Seychelles | jutaan emas nilaian ladang kemanusiaan.

Namun Sabariah Bahari cuba menyejukkan situasi dengan sajaknya berjudul Taiping lalu menasihatkan; usah biarkan kita dihimpit fantasi silam | budaya bangsa harus kita pertahankan | bangkitlah dari kepompong mimpi | hari ini bukan lagi semalam.

Justeru itu Siti Zaleha M Hashim mengiyakan pandangan Sabariah menerusi sajaknya, Namaku Bukit Larut dengan penuh yakin menyebut; bandar warisan jadi kebanggaan | kasih kami pun mengalir tiada henti.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!