Gajah liar musnahkan 9.7 hektar tanaman sawit penduduk
KUALA KRAI - Beberapa penduduk buntu apabila kebun kelapa sawit yang diusahakan di tanah seluas 9.7 hektar di Kampung Sungai Rek, di sini dirosakkan seekor gajah liar sejak Isnin lalu.
Pemilik kebun, Rosdi Mohamad, 64, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila anak-anak pokok kelapa sawitnya musnah 'dikerjakan' gajah yang masuk ke kawasan kampung turut dikenali sebagai Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Lela Jasa itu.
Menurutnya, sejumlah 850 anak pokok sawit tersebut pertama kali ditanam di tanah berbukit seluas 5.6 hektar berkenaan.
“Kawasan tanaman saya terletak di Bukit Mas iaitu sejauh empat kilometer dari kawasan kampung.
“Semua tanaman musnah apabila gajah masuk kebun memakan umbut sawit hingga saya alami kerugian selepas mengeluarkan modal,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Mas, Kampung Sungai Rek, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian turut mendapati terdapat kesan tapak kaki haiwan itu selain ada longgokan najis-najis gajah di lokasi berkenaan.
Seorang lagi pengusaha ladang, Fauzi Abdullah, 52, berkata, kawasan kebun sawitnya yang berkeluasan 1.6 hektar mempunyai pagar kawat berduri namun turut roboh akibat dicerobohi gajah terutama pada waktu malam.
“Sebelum ini, saya tanam pokok getah di kebun sama dan ini percubaan pertama menamam 250 sawit bermula Julai lalu tetapi apakan daya turut sama rugi dimusnahkan gajah.
“Saya buntu memikirkan bagaimana hendak menanam semula sawit kerana modal membeli anak-anak pokok dan upah membina lereng bukit sebelum ini sudah ‘melayang’ sebanyak RM15,000,” katanya.
Pekebun, Manshor Mahmood, 70, yang mengalami nasib sama berharap pihak berwajib mengambil perhatian terhadap masalah dihadapi oleh pekebun di kawasan terbabit.
“Tanaman sawit menjadi antara punca pendapatan kami dan sepatutnya saya dapat menuai hasilnya pada tahun depan, tetapi gajah terlebih dulu memusnahkan kesemua tanaman ini.
“Saya berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk membantu kami seperti menangkap dan memindahkan gajah ini ke kawasan lain supaya penduduk boleh terus mencari punca rezeki dengan berkebun,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!