Cubaan lolos dua bot Vietnam gagal
PASIR PUTEH - Percubaan dua bot nelayan asing warga Vietnam melarikan diri dalam serbuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan gagal apabila berjaya ditahan bersama hasil rampasan keseluruhan bernilai RM3 juta di Tok Bali Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, 23 tangkapan berusia antara 19 hingga 63 tahun itu dilakukan semasa rondaan sempadan perairan Malaysia-Vietnam melalui Op Damai, Op Naga Barat, Op Iman dan Op Tiris.
Menurutnya, kedua-dua bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan antara 126 hingga 128 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 7.22 pagi dan berjaya tahan pada jam 8.39 pagi diikuti penahanan bot kedua pada jam 9.27 pagi.
“Kedua-dua bot pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa Maritim Malaysia memberikan arahan untuk menghentikan bot.
“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal Maritim Malaysia bertindak memintas bot dan melakukan 'force boarding' untuk menghentikan bot-bot berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan, di sini pada Ahad.
Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dan kedua masing-masing mempunyai 17 dan enam orang kru termasuk dua tekong.
“Pemeriksaan dalam dua bot yang ditahan mendapati tangkapan 1,000 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 2,000 liter dengan anggaran nilai hampir RM3 juta.
“Mereka disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Erwan Shah berkata, dua tekong dipercayai melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.
“Kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan maksimum enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
“Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 24 jam sebelum kedua-dua bot tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada jam 11 pagi Jumaat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09-778 0070,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!