[VIDEO] SPRM nafi tuduh Muhyiddin terbabit kontrak Spanco
MERSING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nafi menuduh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini bersifat umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan maksud penafian dibuat Muhyiddin
"Apa maksud dia (penafian Muhyiddin) sebenarnya?, Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau (Muhyiddin) akan dipanggil (memberi keterangan).
"Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan) namun ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.
"Jadi saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Mersing.
Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.
Pada Sabtu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilaporkan menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua termasuk Muhyiddin.
"Khamis lalu, saya menyatakan beberapa saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas menteri kewangan yang terbabit dalam pemberian kontrak Spanco.
"Saya juga ketika itu menyatakan tidak akan menolak memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!